Isnin, 29 Januari 2018 | 1:07pm
KOTA BELUD 29 JANUARI 2018. Antara pemandangan alam semula jadi termasuk sungai yang cantik antara daya penarik di eko pelancongan Kadamaian. NSTP/IHSAN KATA.IHSAN KATA

Ekopelancongan Kadamaian jana pendapatan penduduk

KOTA BELUD: Suatu ketika dulu, sebahagian besar penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian di daerah ini menceburi bidang pertanian dan penternakan, namun ramai beralih arah mencuba sektor pelancongan sejak beberapa tahun lalu.

Kini, Kadamaian memiliki 40 kawasan ekopelancongan dengan masing-masing mempunyai kira-kira 100 ahli, selain memberi manfaat kepada ribuan penduduk.

Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA), Walter Kandayon, berkata pelancongan desa itu menawarkan keindahan alam semula jadi dan tagal kepada pengunjung dengan dikendalikan sepenuhnya oleh masyarakat di kawasan berkenaan.

Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA), Walter Kandayon. - Foto ihsan KATA

"Daripada penjaga sungai hingga tagal dan pemandu pelancong, semuanya dikendalikan penduduk kampung. Usaha sejak beberapa tahun lalu berbekalkan modal sesama sendiri yang mahu industri pelancongan diperhebatkan, ternyata tidak sia-sia apabila mereka mula meraih manfaat.

"Usaha kami ini bukan saja membolehkan aktiviti ekopelancongan di Kadamaian kini meraih pendapatan mencecah RM500,000 sejak 2015, malah pelancongan desa mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan negeri," katanya kepada BH.

DUN Kadamaian mempunyai 74 kampung dengan lebih 35,000 penduduk.

Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata Sabah akan memberi tumpuan terhadap sektor pelancongan luar bandar berikutan minat tinggi pengunjung untuk menerokai keindahan dan produk pelancongan di desa.

Antara pemandangan alam semula jadi termasuk sungai yang cantik antara daya penarik di eko pelancongan Kadamaian. - Foto ihsan KATA

Sambil menyatakan penghargaan khas perlu diberi kepada KATA yang aktif dalam sektor pelancongan desa, Masidi berkata, usaha itu sejajar hasrat Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman memberi keutamaan terhadap pelancongan desa dalam Bajet 2018.

Mengulas lanjut, Walter berkata, ekopelancongan Kadamaian bukan saja menerima sambutan pelancong tempatan, malah dari luar negara seperti Eropah.

"Selain rakyat tempatan, pelancong Eropah juga datang ke sini walaupun jumlahnya masih kecil. KATA kini berusaha menarik pelancong dari China dan Taiwan.

"Kami juga membawa ejen pelancongan untuk melawat dan melihat produk Kadamaian. Lazimnya, pelancong paling ramai datang antara Mei hingga September.

"KATA turut mendapat kerjasama dan sokongan padu Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta Lembaga Pelancongan Sabah," katanya sambil menjelaskan tidak ketinggalan menerima sokongan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Pejabat Daerah Kota Belud.

Berita Harian X