Isnin, 29 Januari 2018 | 4:03pm
DATUK Mohamed Hasnan Che Hussin.- Foto Zaman Huri Isa

MPG DUN Bunut Payong bantu pelajar miskin

KOTA BHARU: Seramai 1,200 pelajar miskin disenaraikan sebagai anak angkat melalui penubuhan Majlis Permuafakatan Guru (MPG) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong yang ditubuhkan tahun lalu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin, berkata inisiatif beliau menubuhkan MPG itu bertujuan memastikan pelajar dari sekolah rendah dan menengah di DUN Bunut Payong mendapat pendidikan sempurna.

Beliau berkata, pelajar terbabit dijadikan anak angkat kepada 132 guru yang menganggotai MPG di DUN itu.

"Guru terbabit bertindak mengenal pasti dan melaporkan segala masalah atau keperluan pelajar sekolah rendah serta menengah berkenaan kepada MPG DUN Bunut Payong yang dipengerusikan saya.

"Kita akan membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dan miskin itu berdasarkan laporan guru terbabit," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan 2018 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab di sini, hari ini.

Seramai 370 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima sekolah itu layak memperoleh bantuan awal persekolahan dengan masing-masing menerima RM100.

Mohamed Hasnan berkata, pihaknya akan menubuhkan Yayasan Pendidikan DUN Bunut Payong dalam masa terdekat bagi mengumpul dana membantu pelajar miskin dan kurang berkemampuan, termasuk mereka yang cemerlang akademik.

Beliau berkata, berdasarkan laporan MPG DUN Bunut Payong, pelajar daripada keluarga miskin dan kurang berkemampuan masih ramai serta memerlukan sokongan masyarakat untuk membantu mereka.

Katanya, pendidikan adalah agenda penting negara dalam usaha melahirkan generasi berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Justeru, beliau berkata, Kerajaan Pusat menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat mendapat pendidikan sempurna hingga peringkat tertinggi.

Berita Harian X