Ahad, 4 Februari 2018 | 7:03pm

Itulah 30 minit yang paling lama

KUALA LUMPUR: "Itulah perjalanan paling jauh pernah saya rasakan, tak sampai-sampai ke hospital," kata doktor sukarelawan Malaysia yang cuba menyelamatkan nyawa seorang pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh, minggu lalu.

Malangnya, pesakit warga emas yang cuba diselamatkan Dr Ahmad Ibrahim Ahmad Zainuddin, akhirnya menghembuskan nafas di hadapan sukarelawan Pasukan Tindakan dan Kebajikan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) itu, ketika dalam perjalanan ke Hospital Medan Malaysia di Ukhia, kira-kira sejam dari Cox's Bazar.

Selama 30 minit, doktor yang baru berusia 29 tahun dari Kajang itu, cuba melakukan bantuan kecemasan CPR di dalam kenderaan pacuan empat roda UNHCR yang memecut laju ke Ukhia dari Kem Pelarian Rohingya di Kutupalong.

Ketika insiden pada 25 Januari lalu itu, wanita warga emas dalam lingkungan 60-an itu antara dua pesakit kritikal yang dibawa dari kawasan Bandarban yang terletak dekat sempadan pergunungan antara Bangladesh-Myanmar dengan seorang lagi ibu mengandung yang akan bersalin bila-bila masa.

Itu adalah kali pertama IMARET, yang sebelum ini membuka klinik bergerak di Thangkhali dan klinik statik di Neo-Kutupalong, ditugaskan bersama rakan NGO tempatan di Bangladesh untuk mengendalikan perpindahan 1,000 pelarian Rohingya di kawasan sempadan Bandarban ke Kutupalong.

"Ibu mengandung nak bersalin itu mereka kejarkan ke Hospital Cox's Bazar dengan ambulan tapi wanita tua itu kena naik bas ke Kutupalong. Bila dia (pesakit warga emas) sampai Kutupalong, keadaan tak berapa bagus, pernafasan tak sekata dan demam sangat tinggi.

"Kami minta UNHCR (yang bertindak sebagai urusetia) hantar ke hospital kerana keadaan pesakit itu sangat teruk. Mereka tidak mengendahkannya sehingga saya dan rakan-rakan doktor (dari IMARET yang bertugas di Kutupalong) tegaskan yang pesakit ini boleh mati jika tidak dikejarkan ke hospital segera.

"UHNCR ubah keputusan mereka dan hantar pesakit ke hospital terdekat. Saya sendiri menemankan pesakit itu dengan pemandu, pegawai UNHCR, anak dan juga cucu wanita Rohingya yang sedang nazak itu," katanya kepada BH di Balai Berita NSTP di sini.

Namun takdir tuhan menyaksikan warga emas itu tiba-tiba berhenti bernafas kira-kira 10 minit selepas kenderaan pacuan empat roda UNHCR bergerak dari Kutupalong menyebabkan Dr Ahmad Ibrahim yang duduk di bahagian pemandu melompat ke belakang untuk melakukan rawatan kecemasan (CPR).

"Anak dia (pesakit itu) pun menjerit menangis, saya pandang ke belakang dan lihat pesakit tak bernafas. Saya terus melompat ke belakang mulakan CPR. Dalam kereta sempit dan cuba gerak laju, saya terpaksa pegang (kenderaan) sebelah tangan dan sebelah lagi buat CPR.

"Saya rasa itulah perjalanan paling jauh pernah saya rasakan, tak sampai-sampai ke hospital. Mulanya kami nak bawa (pesakit) hospital MSF (Medecins Sans Frontieres) tetapi mereka selalunya menolak pesakit kritikal, lalu kami sepakat bawa ke Hospital Medan Malaysia di Ukhia dan perjalanan ambil masa 40 minit.

"Bila sampai di hospital Malaysia, saya sudah buat CPR lebih kurang 30 minit, tangan pun dah penat. Sampai di hospital Malaysia, doktor di sana datang bantu, tapi mereka cakap pada saya yang pesakit itu tidak tunjuk tanda-tanda bernyawa lagi," kata Dr Ibrahim yang juga bapa kepada dua anak itu.

Dr Ibrahim yang juga suami kepada guru, Farah Aina Adnan itu berkata, kematian pelarian Rohingya itu amat menyedihkan apabila beliau mendapat tahu bahawa bayi yang dilahirkan pelarian Rohingya kritikal yang dikejarkan dengan ambulans dari Bandarban, pada sebelah pagi tadi, turut meninggal dunia.

"Dua kematian dalam sehari," kata Dr Ibrahim menyatakan semua doktor Malaysia, khususnya dari IMARET, yang menghantar mayat warga emas Rohingya itu kembali ke pangkuan keluarganya di Kutupalong turut menangis apabila anak wanita itu meratapi kematian ibunya itu.

"Kalau di Malaysia, dia boleh terima rawatan lebih lengkap dan mungkin nyawanya boleh diselamatkan. Saya sedih sebab tak sempat tanya (nama) pesakit. Bila sampai di Kutupalong, semua penduduk meluru ke kereta kami, sebab ada kekeliruan siapa yang meninggal dunia itu. Kami menangis beramai-ramai seperti kami juga kehilangan seorang emak," kata Dr Ibrahim sebak.

"Ini adalah kisah dilalui doktor IMARET ketika bertugas di sana untuk membantu pelarian Rohingya. Kami tidak akan berputus asa, malah kita merancang untuk meneruskan khidmat kesihatan selama tiga bulan lagi di Bangladesh dengan sokongan rakyat Malaysia," kata Ketua Kordinator IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi.

Temubual bersama sukarelawan IMARET Dr Ahmad Ibrahim Ahmad Zainuddin. - Foto Rosdan Wahid

Mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada IMARET boleh menyalurkan sumbangan kepada Persatuan Perubatan Islam Malaysia (CIMB) 8600703709 dengan kod rujukan: Rohingya atau emal imamre[email protected]. Perkembangan lanjut IMARET juga boleh diikuti menerusi laman Facebook IMARET.

Sukarelawan IMARET, Dr Ahmad Ibrahim Ahmad Zainuddin ketika bertugas di kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto ihsan IMARET
Berita Harian X