Selasa, 13 Februari 2018 | 4:02pm
KETUA Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim bersama isterinya yang juga Penaung 'Pink Angels' Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Lumpur Datin Seri Anizah Musa bergambar bersama skuad 'Pink Angels' MCPF Kuala Lumpur pada Majlis Makan Malam MCPF Kuala Lumpur bersama Polis Kuala Lumpur dan Media di TPC Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Pasukan 'Pink Angel' ditubuh tangani jenayah remaja

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menubuhkan pasukan 'Pink Angel' bagi menangani jenayah dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Pasukan yang terdiri daripada 10 penuntut wanita di institusi pengajian tinggi sekitar Lembah Klang itu akan membantu polis melalui program dan bengkel kesedaran yang akan dianjurkan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim, berkata pasukan itu akan dinaungi Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Kuala Lumpur Datin Seri Anizah Musa.

"Pasukan yang diwujudkan itu akan membantu polis dalam mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

"Mereka akan mendekati masyarakat setempat untuk bertanya khabar, terutama ibu bapa sentiasa mengawasi setiap langkah anak mereka agar tidak didekati penjenayah," katanya pada sidang media selepas merasmikan penubuhan pasukan Pink Angel di Bukit Kiara, di sini, malam tadi.

Mazlan berkata, pada peringkat awal, pasukan itu akan menganjurkan forum dan bengkel kepada remaja yang berpotensi menjadi sasaran jenayah rogol dan pemerdagangan.

"Seminar dan forum ini memberi fokus kepada kanak-kanak agar menjauhi diri mereka dan menutup peluang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah," katanya.

179 dibaca
Berita Harian X