Isnin, 19 Februari 2018 | 2:57pm

Rayu bantuan pembedahan anak di China

MARANG: "Saya tidak sanggup lagi melihat anak meragam kerana sakit, justeru berharap kos pembedahan itu berjaya dikumpul dalam masa terdekat," kata Siti Rokiah Ab Wahab, 39, ibu kepada Muhammad Faris Wifiuddin Faris Irwan berusia sembilan bulan yang mengalami masalah saluran hempedu tersumbat, hari ini.

Faris Wifiuddin mengalami masalah saluran hempedu tersumbat sejak lahir dan selepas menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya(PPUM), anak bongsu daripada empat beradik itu disahkan perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai, China membabitkan kos rawatan keseluruhan termasuk penginapan dan pengangkutan penjaga sebanyak RM250,000.

Siti Rokiah berkata, anaknya itu mengalami masalah itu sejak lahir dan pernah menjalani pembedahan pertama pada Ogos 2017, tetapi masalah anaknya semakin ketara sejak akhir-akhir ini dan sering meragam kerana sakit.

"Sebagai ibu saya tidak sanggup melihat anak berterusan menahan sakit seperti itu, biasanya Faris Wifiuddin hanya tidur sekejap dan apabila sedar dia akan merengek sakit.

"Saya bertuah kerana suami, Faris Irwan Shafpii, 35, dan ahli keluarga turut bekerjasama menjaga Faris Wifiuddin, namun sejak kebelakangan ini saya sendiri kekurangan rehat kerana perlu memeluk tubuh anak setiap kali dia menangis," katanya.

Beliau berkata, dia merujuk anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, Kelantan untuk rawatan lanjut. Faris Wifiuddin kemudian dihantar ke PPUM untuk mengesan penyakit sebenar.

"Kami diminta menguruskan pembedahan pemindahan hati di China secepat mungkin dan saya sendiri akan menjadi penderma hati kepada Faris Wifiuddin.

"Cuma masalah sekarang ialah kos rawatan keseluruhan dan kos sara hidup penjaga di sana selama dua bulan sangat tinggi, membuatkan kami terpaksa meraih simpati orang ramai untuk menghulurkan bantuan bagi mempercepatkan proses pembedahan itu," katanya yang tinggal di Kampung Tebakang, Marang.

Siti Rokiah berkata, sejak penderitaan anaknya dan tabung kutipan bagi membiayai kos rawatan itu menjadi viral di media sosial, dia berjaya mengumpul RM11,000 hasil sumbangan orang ramai.

"Saya harap lebih ramai tampil membantu Faris Wifiuddin dengan harapan pembedahan boleh dilakukan segera selewat-lewatnya hujung bulan depan," katanya.

Sementara itu, Faris Irwan berkata, dia ingin melihat anak bongsunya sihat seperti tiga anaknya yang lain iaitu Siti Aisyah Umaira, 7, Siti Asiah Qaisara, 6, dan Muhammad Faris Hafizuddin,3.

"Hanya pembedahan pemindahan hati saja akan menyelesaikan masalah Faris Wifiuddin, jadi saya perlu berusaha mengumpul wang bagi memastikan pembedahan boleh dijalankan segera.

"Masalah itu juga dalam pengetahuan kerajaan negeri dan pihak bertanggungjawab yang lain, malah permohonan bantuan Tabung Darul Iman sudah dibuat dan diharap diluluskan dalam tempoh terdekat," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Faris Wifiuddin boleh menghubungi talian 014-8191406 atau terus menghulurkan sumbangan ke akaun BSN 0212929000003812.

SITI Rokiah sedang menenangkan anaknya yang merengek kesakitan. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Berita Harian X