Selasa, 20 Februari 2018 | 3:52pm
ANGGRAINI Sentiyaki. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Maahad tahfiz perlu daftar JAKIM

KUALA LUMPUR: Maahad tahfiz yang dibina di Wilayah Persekutuan digalak untuk mendaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bagi memastikan pusat pengajian agama itu terjamin daripada pelbagai sudut.

Penaung Puspanita Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Anggraini Sentiyaki, berkata langkah itu dapat menjamin setiap maahad yang dibina mendapat kepercayaan dari segi pentadbiran, pengajian dan bantuan yang disalurkan pihak tertentu.

Katanya, perbincangan dan kerjasama secara telus dengan JAKIM juga dapat memastikan pengajian setiap murid di maahad tahfiz dapat berjalan lancar demi masa depan pelajar berkenaan.

"Justeru saya menyeru pengurusan maahad tahfiz mendaftar pusat pengajian masing-masing demi kebaikan bersama dan untuk memastikan mereka tidak terlepas pandang jika ada bantuan ingin disalurkan.

"Masa depan pelajar juga akan terjamin dan mutu pembelajaran juga mengikut sukatan digariskan JAKIM," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada dua maahad tahfiz iaitu Maahad Tahfiz Al Quran Al Badr dan Maahad Tahfiz Al Quran Al Ummi di Kerupang 2, Labuan, baru baru ini.

Selain itu, RM5,000 wang tunai disumbangkan untuk setiap maahad tahfiz dan sumbangan cenderahati kepada 150 pelajar serta tenaga pengajar.

Yang turut hadir, Pengerusi Puspanita Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Aslinah Mohd Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar (YKB), Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican.

Berita Harian X