Selasa, 20 Februari 2018 | 3:58pm
JABATAN Kebajikan Masyarakat mencari waris bayi perempuan yang pernah dibuang dan diletakkan di depan rumah seorang lelaki berketurunan India di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, 26 Jun 2015. - Foto Amrullah Abdul Karim
BERSAMA bayi tersebut terdapat sebuah beg berisi lima pasang baju, lampin, dua botol susu dan duit sebanyak RM10 di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, 26 Jun 2015. - Foto Amrullah Abdul Karim

Cari waris bayi dibuang 3 tahun lalu

KUALA KUBU BHARU: Waris kepada seorang kanak-kanak perempuan yang pernah dibuang di Ampang Pecah, di sini ,tiga tahun lalu, diminta tampil bagi membantu urusan pendaftaran kelahiran kanak-kanak itu.

Kanak-kanak tanpa identiti itu yang kini berusia tiga tahun, ditemui seorang lelaki berbangsa India di luar pagar rumahnya pada pagi 26 Jun 2015.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Selangor, Abdul Razak Aziz, berkata ketika ditemui tiga tahun lalu, kanak-kanak itu lengkap berpakaian serta dibalut kain batik dan diletakkan di atas beg pakaian berwarna hijau.

Beliau berkata, sebuah beg berisi lima pasang baju, lampin, dua botol susu dan duit sebanyak RM10 juga diletakkan bersama bayi itu.

Katanya, kanak-kanak itu kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Ketika ditemui, bayi itu dianggarkan berusia antara lima hingga tujuh hari berdasarkan tali pusatnya yang sudah kering dan dalam keadaan sihat serta disahkan oleh pihak doktor tiada sebarang penyakit.

"Kami berusaha mengesan waris kanak-kanak ini untuk menguruskan pendaftaran lewat kelahiran," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan waris kanak-kanak berkenaan dan memaklumkan kepada Pejabat JKM Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641430.

Berita Harian X