Rabu, 21 Februari 2018 | 12:43pm
MOHD Arifin beramah mesra dengan sebahagian peserta pada Majlis Perasmian Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Perluas pertandingan hafaz al-Quran untuk kanak-kanak

KOTA KINABALU: Masyarakat Islam di negeri ini disaran memperluaskan pertandingan menghafaz al-Quran dengan penyertaan bermula daripada usia kanak-kanak.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata ia boleh dimulakan di peringkat kampung sebelum pemenang dipilih untuk bertanding di peringkat negeri.

"Mungkin ini antara cara yang dapat kita lakukan bagi memupuk rasa cintakan al-Quran dalam kalangan anak-anak kecil," katanya ketika merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini, hari ini.

Seramai 19 finalis daripada lima pusat tahfiz bertanding dalam program itu sebelum keputusan diumumkan pada Majlis Penutupan Minggu Semarak Al-Quran yang dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, Jumaat ini.

Majlis Menghafaz Al-Quran anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) itu adalah sebahagian aktiviti sempena Minggu Semarakkan Al-Quran yang berlangsung bermula 18 hingga 23 Februari.

Antara program lain diadakan ialah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri, Ziarah Karya, Konvensyen Al-Quran dan Program Dari Masjid Ke Masjid.

Dalam perkembangan lain, Mohd Arifin berkata, sebanyak 23 pusat tahfiz di negeri ini sudah menjalani proses penyelenggaraan dan pendawaian elektrik, manakala sembilan lagi kini giat diselenggara.

Beliau berkata, ia dilaksanakan menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM30 juta untuk pusat tahfiz di seluruh negara seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu.

"Ini adalah antara inisiatif kerajaan bagi memastikan tidak berlaku masalah litar pintas, seterusnya menyebabkan kebakaran di pusat tahfiz.

"Kita juga berharap pusat tahfiz seluruh negeri selepas ini lebih menitikberatkan perihal keselamatan warga masing-masing dari pelbagai aspek," katanya.

Beliau turut meminta pengasas institusi tahfiz di Sabah supaya mendaftar pusat tahfiz kepada MUIS agar segala bantuan berkaitan dapat diselaraskan, selain memudahkan pemberian bantuan.

Berita Harian X