Rabu, 21 Februari 2018 | 5:08pm
PENGERUSI Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib. - Foto Rozainah Zakaria
PENGERUSI Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib. - Foto Rozainah Zakaria

Insurans keluarga atasi pengabaian nafkah

KUALA TERENGGANU: Masalah pengabaian nafkah oleh bekas suami terhadap isteri dan anak yang semakin meningkat bakal selesai sebaik cadangan mewujudkan skim insurans keluarga Islam terlaksana.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib, berkata insurans yang dikenali sebagai Taaminul Usrah itu diguna pakai secara meluas di beberapa negara Asia Barat seperti Jordan.

Beliau berkata, skim insurans itu terbukti berjaya menyelesaikan isu masalah nafkah dengan mudah di negara berkenaan, sekali gus menjamin hak nafkah isteri dan anak selepas berlaku perceraian.

Katanya, pendekatan skim insurans sama perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan negeri berikutan kes pengabaian nafkah anak masih tinggi di Terengganu.

"Berdasarkan rekod, daripada 269 kes tuntutan nafkah yang difailkan di Mahkamah Syariah di Terengganu, tahun lalu, hanya 45 peratus atau 110 bapa yang melunaskan nafkah terhadap anak mereka.

"Justeru, pelaksanaan skim insurans ini penting dalam menjamin nasib isteri dan anak selepas berlaku perceraian.

"Ini penting kerana kita tidak mahu kebajikan anak terutama dalam urusan penting seperti pendidikan terbantut akibat masalah kegagalan bapa melunaskan nafkah anak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ghazali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil berkata, kajian terperinci perlu dilakukan segera supaya kaedah pelaksanaan skim insurans itu dapat disesuaikan di negeri ini.

"Kita akan tubuhkan jawatankuasa khas untuk membuat kajian segera mengenai perkara ini," katanya.

Berita Harian X