Ahad, 25 Februari 2018 | 7:16pm
BANGUNAN sekolah yang menempatkan murid-murid sebelum ini yang diisytiharkan tidak selamat di Sekolah Kebangsaan Sayed Othman, Miri. - Foto fail NSTP/ Mohd Rizal Abdullah
BANGUNAN sekolah yang menempatkan murid-murid sebelum ini yang diisytiharkan tidak selamat di Sekolah Kebangsaan Sayed Othman, Miri. - Foto fail NSTP/ Mohd Rizal Abdullah

Sarawak terima peruntukan RM36.82 juta laksana PPKHAS

KUCHING: Sarawak menerima peruntukan berjumlah RM36.82 juta bagi melaksanakan Projek Penambahbaikan Dan Penyelenggaraan Sekolah (PPKHAS) 2018.

Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri berkata, peruntukan itu adalah bagi projek pembaikan dan penyelenggaraan di Sekolah Kebangsaan iaitu di sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah agama.

Selain itu, peruntukan terbabit turut diagihkan untuk pelaksanaan projek menaiktaraf Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik.

"Pada pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan peruntukan sebanyak RM 500 juta untuk pelaksanaan PPKHAS di seluruh negara sepanjang tahun ini.

"Atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu-isu kerosakan di sekolah, Sarawak turut menerima peruntukan besar untuk menambah baik infrastruktur sekolah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, projek PPKHAS 2018 di Sarawak merangkumi tujuh skop kerja iaitu pembaikan bumbung , saluran air hujan dan salur tegak air hujan yang akan dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM10 juta dan pembaikan sistem kumbahan (RM1.27 juta).

Peruntukan itu turut digunakan untuk pembaikan tandas dan sistem perpaipan dalam bangunan (RM2.04 juta) serta pembaikan sistem perpaipan luar bangunan dan sistem bekalan air (RM896,000).

Peruntukan berjumlah RM7.57 juta disalurkan untuk penyelenggaraan sistem pendawaian dan pembaikan elektrik, manakala untuk penyelenggaraan sistem pencegahan kebakaran (RM843,000) dan penambahbaikan pagar sekolah (RM6.44 juta).

Beliau berkata, bilangan kerja yang dilaksanakan bagi PPKHAS 2018 adalah meliputi 534 projek untuk sekolah kebangsaan, Sekolah Berasrama Penuh (2), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (11), Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik (5).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X