Selasa, 27 Februari 2018 | 6:21pm
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan menerima Replika Cek berjumlah RM41,508,084.00 daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (kiri) yang merupakan Peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi Bayaran Imbuhan Imam, Elaun Guru KAFA dan Guru Takmir Negeri Selangor 2018 sempena Majlis Penyerahan Mock Cheque Peruntukan Kerajaan Persekutuan Kepada Negeri Selangor 2018 bertempat di Istana Kayangan Shah Alam Selangor. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Persekutuan serah peruntukan kepada Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini, berkenan menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM49.3 juta untuk pembayaran elaun kepada guru Kelas al-Quran dan Kelas Fardu Ain (KAFA), imam dan guru takmir di seluruh negeri Selangor.

Peruntukan berkenaan diserahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mewakili Kerajaan Persekutuan di Istana Bukit Kayangan, di sini, untuk disalurkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi tujuan berkenaan.

Majlis penyerahan replika cek itu turut dihadiri Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Antara tetamu lain yang turut hadir termasuk Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Sementara itu, Jamil berkata, sejumlah RM41.5 juta diperuntukan bagi bayaran elaun sepanjang tahun ini, manakala RM7.8 juta adalah bagi bayaran khas 'one off' sebanyak RM1,500 setiap seorang.

Beliau berkata, seramai 5,041 guru dan imam di seluruh Selangor mendapat manfaat daripada peruntukan berkenaan.

"Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini menerusi pengumuman Perdana Menteri pada Bajet 2018 lalu membabitkan bayaran khas berjumlah RM1,500 ini.

"Bayaran akan dibuat dua kali iaitu RM1,000 pada Mac ini, manakala baki RM500 dibayar menjelang Aidilfitri," katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.

Berita Harian X