Ahad, 11 March 2018 | 4:54pm
DATUK Jefridin Atan (kanan) menyampaikan sumbangan RM10,000 untuk rawatan pindah injap jantung kepada Siti Zubaidah (kiri) di rumah kediamannya di Kampung Sungai Kuali, Serkat Pontian. - Foto Togi Marzuki

LEGASI bantu pesakit

PONTIAN: Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI) menganjurkan Kembara Modal Insan buat pertama kali di daerah ini sebagai inisiatif membantu golongan memerlukan.

Menerusi program itu, LEGASI melawat Siti Nur Aaira Ameera Mohd Mamdoh, sembilan bulan, di Kampung Sungai Kuali, Serkat, yang menghidap penyakit hati dan menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi menampung kos rawatan yang keseluruhannya dianggarkan RM250,000.

Pengerusi LEGASI, Datuk Jefridin Atan, berkata kunjungan ke rumah keluarga Aaira bukan sahaja bertujuan menunjukkan keprihatinan LEGASI kepada insan yang memerlukan, namun turut mengajak masyarakat untuk bersama membantu Aaira dalam meneruskan kehidupannya seperti kanak-kanak lain.

Katanya, dengan membawa nama Kembara Modal Insan, LEGASI percaya inisiatif itu dapat meneruskan legasi kepemimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.

"Secara amnya, pertubuhan ini adalah jawatankuasa yang menganjurkan program bersifat ilmiah dan advokasi seperti syarahan umum oleh negarawan terdahulu hingga kini," katanya.

Sementara itu, ibu Aaira, Siti Zubaidah Abd Jalil, 41, berkata anaknya menghidap penyakit berkenaan sejak dilahirkan dan terpaksa menjalani rawatan di Hospital Renji, Shanghai, China dengan kos RM250,000.

Beliau yang bertugas sebagai guru di SK Permas Kelapa, Serkat berharap dapat mengumpul sumbangan bagi menampung keperluan perubatan anaknya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana melalui sumbangan pelbagai pihak, kami dapat mengumpul sebanyak RM180,000 dan berterima kasih dengan LEGASI yang tampil memberi sumbangan," katanya.

Selain itu, LEGASI turut menganjurkan Majlis Malam Amal ini di Kompleks Penghulu Mukim Serkat, di sini dan dapat mengumpulkan kira-kira 3,000 pengunjung.

Turut hadir memeriahkan Majlis Malam Amal itu ialah Khai Bahar dan Nur Nilam Sari yang menghiburkan pengunjung dengan persembahan mereka.

Terdahulu, LEGASI turut mengadakan program di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunian, dekat sini, dengan menjadikan sekolah itu sebagai Anak Angkat LEGASI dan menyampaikan sumbangan RM15,000 bagi membantu meningkatkan kualiti pelaksanaan sistem pembelajaran di sekolah berkenaan.

Dekan Fakulti Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salleh Amat, turut menyampaikan motivasi kejayaan dengan tajuk bicaranya, 'Peranan Ibu Bapa, Guru dan Pelajar' yang dihadiri lebih 200 ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Berita Harian X