Khamis, 15 March 2018 | 10:55am
DATUK Ramli Sarip menerangkan karya reka bentuk kulit albumnya kepada orang ramai di Galeri Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
PENGUNJUNG melihat karya lukisan digital dan reka bentuk kulit album di Galeri Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
MUSTAFFA Ahmad Hidzir atau lebih dikenali dengan panggilan Tapa. - Foto Muhammad Sulaiman

Galeri Shah Alam pamerkan karya seni digital

SHAH ALAM: Galeri Shah Alam (GSA) buat julung kalinya mengadakan Pameran Seni Digital yang menggabungkan dua pelukis digital tempatan iaitu Hairul Azizi dari Terengganu dan antarabangsa, Rachel Gray (United Kingdom).

Penolong Kurator, Ibrahim Bujal, berkata lukisan digital adalah satu bentuk seni yang meripklasikan media artistik tradisional seperti cat air, minyak, pensel, arang dan arkilik, pada komputer menggunakan 'stylus & tablet digital'.

"Perisian ini memudahkan pelukis menggunakan 'stylus' untuk menghasilkan kesan berus dan cat minyak.

"Jadi, dengan hanya menggunakan 'stylus', ia memberi peluang kepada pelukis untuk mengekalkan teknik dan kemahiran tradisional tetapi secara digital," katanya ketika ditemui di Galeri Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut diadakan adalah pameran Reka Bentuk Kulit Album 12X12 yang menghimpunkan karya Mustaffa Ahmad Hidzir atau lebih dikenali dengan panggilan Tapa.

Ibrahim berkata, Tapa adalah pereka bentuk grafik yang berjaya menghasilkan banyak kulit album sejak zaman piring hitam sehingga kini.

"Saya kagum kerana beliau antara anak Melayu pertama yang bergiat aktif dalam bidang ini dan ia perlu menjadi inspirasi buat anak muda di luar sana berkecimpung dalam dunia seni grafik," katanya.

Sementara itu, karya lukisan digital dan reka bentuk kulit album akan dipamerkan, di Galeri Shah Alam sepanjang pameran yang berlangsung, bermula 6 hingga 30 Mac ini.

Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan oleh penggiat seni negara, Datuk Ramli Sarip.

Tapa ketika ditemui berkata beliau diberi peluang untuk membuat kulit album pertama untuk kumpulan Carefree pada tahun 1979.

"Saya bekerjasama dengan beberapa syarikat rakaman selepas itu antaranya BMG, EMI, dan lain-lain. Sehingga kini, saya sudah membuat 300 kulit album untuk penyanyi seperti Sudirman, Ella, Noorkumalasari, Man Bai dan ramai lagi," katanya.

Berita Harian X