Khamis, 15 March 2018 | 8:40pm
KETUA Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang. - Foto Abd Rahim Rahmat

Kerajaan Persekutuan sudah labur RM10 bilion

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan sudah membelanjakan lebih RM10 bilion bagi meningkatkan kualiti bekalan air di Selangor sejak 2010 biarpun penstrukturan industri perkhidmatan air di negeri itu belum lagi dimuktamadkan hingga kini.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata sejak 2010 hingga kini, Kerajaan Persekutuan melabur peruntukan yang banyak bagi menyediakan infrastruktur bekalan air di Selangor bagi membolehkan bekalan air terus dinikmati oleh rakyat di negeri itu.

Beliau berkata, antara peruntukan itu termasuk RM742 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan RMK-11 selain Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor dan Loji Rawatan Air Langat 2 dengan kos keseluruhan RM7.6 bilion.

"Selain itu, sebanyak RM1.68 bilion turut dibelanjakan Kerajaan Persekutuan bagi membantu kerajaan negeri mengambil alih ekuiti Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB); Konsortium ABASS; Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) di bawah skim penstrukturan semula industri bekalan air di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, secara keseluruhan, penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air di Selangor dianggarkan berjumlah RM17 bilion termasuk pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Bagaimanapun, katanya, perubahan dasar kerajaan negeri sejak 2008 menjejaskan pelaksanaan beberapa projek bekalan air berimpak tinggi dan inisiatif penstrukturan semula industri bekalan air yang belum dapat dimuktamadkan sehingga kini.

"Kesannya, rakyat Selangor dinafikan hak untuk mendapat akses kepada bekalan air bersih yang disediakan hasil daripada pelaburan besar Kerajaan Persekutuan.

"Malah, satu daripada projek yang terkesan ialah Loji Rawatan Air Langat 2 bernilai RM3.7 bilion yang sepatutnya siap sepenuhnya pada 2017 tetapi disebabkan perubahan dasar kerajaan negeri, projek itu hanya dapat disiapkan pada 2022," katanya.

Dalam perkembangan sama, Zaini berkata, kementerian turut menyifatkan Program 20 Meter Padu Air Percuma dilaksanakan kerajaan Selangor bukanlah tindakan yang betul terutama dalam keadaan margin simpanan bekalan air berada pada kadar kosong peratus.

"Kalau dalam keadaan sekarang (margin simpanan kosong peratus), kerajaan negeri sepatutnya melihat kembali kewajaran program itu.

"Langkah memberikan air percuma secara tidak bersasar bukanlah tindakan yang bijak dalam konteks menzahirkan hasrat penggunaan air yang berhemah," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan semua aset air di Selangor, Zaini berkata, dakwaan itu tidak benar, sebaliknya Air Selangor (AiS) yang bertanggungjawab dari segi operasi dan penyelenggaraan aset berkenaan.

"AiS adalah syarikat baharu yang ditubuhkan kerajaan negeri bagi menguruskan operasi perkhidmatan air di Selangor menggantikan empat syarikat konsesi air sebelum ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berupaya membangunkan aset-aset air.

Menurutnya, dakwaan itu tidak berasas sama sekali, sebaliknya perbelanjaan modal bagi negeri yang melaksanakan migrasi dibiayai oleh Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB).

"PAAB mempunyai 'credit rating' bertaraf AAA dan berupaya menawarkan pembiayaan pada kadar kompetitif berbanding pinjaman komersial lain, malah modal pembiayaan PAAB kini bernilai lebih RM14 bilion dan berupaya membiayai sehingga RM40 bilion," katanya.

Berita Harian X