Ahad, 18 March 2018 | 2:57pm

LTM tampung 3 juta penumpang 2019

MIRI: Lapangan Terbang Miri (LTM) mampu menampung jumlah penumpang sehingga tiga juta orang setahun apabila ia siap dinaik taraf, akhir tahun depan.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, berkata projek menaik taraf lapangan terbang itu sedang giat dilaksanakan dengan membabitkan ruang balai berlepas, kaunter pelepasan dan pintu masuk ketibaan berasingan.

Katanya, kerja menaik taraf lapangan terbang itu dilakukan untuk keselesaan orang ramai yang menggunakan lapangan terbang berkenaan.

"Banyak kemudahan lain juga akan disediakan kepada pengguna di lapangan terbang itu. Langkah ini diharap dapat meningkatkan imej bandar raya Miri sebagai destinasi pelancongan popular di Sarawak," katanya ketika melawat lapangan terbang itu, di sini, hari ini.

Kim Shin berkata, apabila kerja menaik taraf siap, setiap balai berlepas berasingan untuk penerbangan antarabangsa mampu menampung 160 penumpang, pada satu-satu masa.

Katanya, kerja menambah tempat letak kereta di lapangan terbang ini sudah bermula sejak Januari lalu, membabitkan tambahan sebanyak 200 ruang untuk kemudahan itu.

Ketika ini, katanya, ada 412 tempat letak kenderaan di LTM dan ia mencukupi walaupun berlaku peningkatan jumlah penumpang atau pengguna.

"Jumlah penumpang semasa sudah mengatasi kapasiti keupayaan lapangan terbang ini yang hanya mampu menampung dua juta penumpang setiap tahun, sejak lapan tahun lalu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, berlaku sedikit penurunan jumlah penumpang yang menggunakan lapangan terbang itu tiga tahun kebelakangan.

Katanya, jumlah itu dijangka bertambah semula tahun ini, apabila berlaku kenaikan lima peratus jumlah penumpang menggunakan LTM Januari lalu berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X