Khamis, 22 March 2018 | 5:11pm
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBAHB) dan PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa menunjukkan gambar Empangan Mengkuang pada sidang media di Georgetown, hari ini. - Foto Mikail Ong
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBAHB) dan PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa menunjukkan gambar Empangan Mengkuang pada sidang media di Georgetown, hari ini. - Foto Mikail Ong

PBAPP sedia ambil alih Empangan Mengkuang

GEORGETOWN: Pulau Pinang menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bersedia bagi mengambil alih semula Empangan Mengkuang di Seberang Prai Tengah daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dengan bersyarat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBAHB) dan PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, syarat pengambilalihan itu adalah bagi memastikan keupayaan PBAPP dalam membekalkan air yang mencukupi sehingga tahun 2050.

Katanya, surat mengenai persediaan mengambil alih itu sudah dihantar kepada KeTTHA baru-baru ini melalui Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pihaknya masih menunggu jawapan.

"Ini adalah strategi PBAPP bagi memastikan polisi kami yang membekalkan air tanpa catuan kepada pengguna di Pulau Pinang.

"Dengan pembesaran empangan itu, kita juga sudah bersedia menghadapi jumlah tadahan air pada musim hujan akan datang," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Projek empangan yang dikendalikan KeTTHA sejak 2011 itu membabitkan dua peringkat dan sudah siap pada awal Mac lalu.

Empangan Mengkuang kini sudah diperbesarkan untuk menampung air sehingga 73.5 bilion liter membabitkan kos sebanyak RM1 bilion dan dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

Antara syarat yang ditawarkan, ialah KeTTHA akan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi pembinaan ampang jajar baharu merentasi Sungai Muda di Rantau Panjang, Seberang Prai Utara, menggantikan ampang jajar lama yang berusia 46 tahun.

Selain itu, KeTTHA akan membina Rumah Pam Lahar Yooi kerana tanpa pam berkenaan, Empangan Mengkuang yang sudah diperbesarkan itu akan mengambil masa lama bagi mengisi dan dipenuhkan semula.

"Namun ada antara syarat terbabit memerlukan KeTTHA mengambil langkah bagi membaik pulih cerun di sepanjang perimeter 11 kilometer sekitar empangan dan rumput di bahu empangan dengan kos ditanggung pihak mereka.

"Kita bersedia mengambil alih, namun empangan ini mesti ditutup kepada orang awam terlebih dahulu sehingga semua cerun yang rosak diperbaiki," katanya lagi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X