Sabtu, 24 March 2018 | 2:52pm
PENDUDUK TTDI berkumpul di Taman Rimba Kiara Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bagi membantah untuk menyelamatkan taman tersebut dari di ambil untuk tujuan pembangunan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Penduduk dakwa pemaju angkuh, berniat jahat

KUALA LUMPUR: Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mendakwa pihak pemaju berniat jahat apabila terus melakukan pembangunan di Taman Rimba tanpa menunggu semakan kehakiman daripada mahkamah.

Pengerusi Naib Pengerusi Persatuan Penduduk TTDI, Clinton Ang, berkata tindakan berkenaan adalah tidak wajar kerana pihak pemaju seolah-olah mengetepikan perbicaraaan yang masih berlangsung.

Katanya keadaaan itu menimbulkan kehairanan dalam kalangan penduduk, seolah-olah pemaju sudah pasti bahawa mereka akan menang di mahkamah.

"Secara asasnya kerja pembinaan sudah bermula, sejak pertengahan Mac lalu, sedangkan kes ini masih dalam semakan.

"Pemaju terlalu angkuh dan langsung tidak menunjukkan sama sekali rasa bersalah, seolah-olah mereka akan menang dan penduduk akan kalah dalam semakan kehakiman yang sedang berlangsung.

"Kenapa mereka terlalu tergesa-gesa? Bagaimana sekiranya mahkamah membuat keputusan yang berpihak kepada penduduk? Sedangkan segala kemusnahan sudahpun berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian, ditemui pada sidang akhbar bantahan aman mengenai pembangunan projek bercampur di Taman Rimba Kiara (TRK), Bukit Kiara di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur (SKL), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Pada majlis itu lebih 50 penduduk TTDI melakukan aktiviti berkelah sambil membawa beberapa sepanduk bertulis; 'Kurangkan pencerobohan, banyakkan pemuliharaan', dan 'Taman untuk manusia, bukan kondominium', sebagai simbolik terhadap membantah projek pembangunan di lokasi berkenaan yang dilihat terus dilakukan pemaju, sejak 14 Mac lalu.

Projek pembangunan bercampur di Taman Rimba Kiara, Bukit Kiara menimbulkan kontroversi apabila Disember lalu apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan pengurusan kondominium bersebelahan untuk mengantung perintah pembangunan di kawasan itu.

Bagaimanpun baru-baru ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada wakil masyarakat TTDI untuk meneruskan semakan kehakiman terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju hartanah Memang Perkasa Sdn Bhd, di mana Malton Berhad memegang 51 peratus kepentingan syarikat.

Desakan orang ramai supaya cadangan pembangunan di TRK, dihentikan tidak sekadar bimbang terhadap kesan ditimbulkan, tetapi juga gangguan kepada habitat fauna yang terdapat di situ.

Bantahan dilakukan badan bukan kerajaan termasuk pencinta alam kerana kawasan rimba rekreasi TRK, menjadi habitat lebih 40 spesies unggas termasuk beberapa spesies burung pemangsa.

Ang berkata pihaknya akan membuat permohonan bertulis kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk campur tangan dalam perkara berkenaan.

"Kami tulis surat kepada Perdana Menteri, tetapi masih belum menerima jawapan.

"Tetapi kami merasakan apa yang kami perjuangkan ini selari dengan matlamat Perdana Menteri dalam wawasannya untuk melihat taman di tengah bandaraya," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya mahu Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang digunakan sekarang, diwartakan kerana Kuala Lumpur tidak memiliki pelan tempatan untuk pembangunan bandar.

"Sebuah pelan struktur dan tempatan meliputi guna tanah bagi pembangunan Kuala Lumpur perlu dirangka dan diwartakan di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.

"Pembangunan seharusnya dirancang dan perlu diwartakan. Kita ada Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 yang memerlukan pelan struktur am dan pelan tempatan yang lebih terperinci dirangka dan diwartakan, tetapi kurang dipatuhi," katanya.

Berita Harian X