Sabtu, 24 March 2018 | 4:56pm
KETUA Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus (kanan) bersama Datuk Seri Abu Bakar Harun (duduk) menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli pada Program Sentuhan Kasih dan Ilmu Chini di Kampung Tanjung Keruing. - Foto Muhd Asyraf Sawal
KANAK-KANAK masyarakat Orang Asli melihat buku Perdana Menteri yang berjudul '' Najib Bermulanya Sebuah Legasi '' pada Program Sentuhan Kasih dan Ilmu Chini di Kampung Tanjung Keruing. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Bukti kerajaan tidak pinggir masyarakat luar bandar

PEKAN: Pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) membabitkan masyarakat FELDA dan penduduk luar bandar yang melebihi sasaran mengikut Laporan Program Transformasi Negara (NTP) 2017, membuktikan kerajaan tidak pernah lupa dan meminggirkan kehendak mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA negeri, Datuk Abu Bakar Harun, berkata sebagai contoh, agenda memperkasakan pendapatan isi rumah dan pembinaan infrastruktur yang dilaksanakan kerajaan memberi manfaat kepada kira-kira 3.7 juta penduduk kampung.

Katanya, sekarang, rakyat terutama penduduk di luar bandar sudah mengetahui manfaat yang diperoleh mereka hasil program yang dilaksanakan kerajaan.

"Apa yang diperkatakan pembangkang sebelum ini mengenai kegagalan pentadbiran Perdana Menteri adalah tidak berasas kerana fakta membuktikan segala-galanya.

"Malah, kita (kerajaan) sentiasa berusaha meningkatkan segala kepentingan dan keperluan masyarakat luar bandar bagi mencapai kejayaan lebih besar," katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini mengulas laporan NTP 2017 yang mana lebih 6.8 juta rakyat yang tinggal di luar bandar menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif pembangunan luar bandar dari 2010 hingga 2017.

Ini meliputi usaha meningkatkan pembinaan jalan baharu dan penambahbaikan serta kawasan perumahan baharu, akses kepada bekalan air bersih dan elektrik, di samping peluang menjana pendapatan golongan miskin luar bandar.

Sementara itu, penduduk Orang Asli, Mohd Sulong Sulong, 47, mengakui program NTP banyak memberi manfaat kepada golongan minoriti, terutama dalam bantuan perumahan.

"Jika dahulu rumah saya kecil dengan isi keluarga yang besar tetapi kerajaan bantu bina rumah yang lebih besar dan selesa. Malah, bantuan pendidikan untuk anak Orang Asli yang cemerlang juga turut kami terima," katanya.

Beliau turut membuat perbandingan kemajuan yang dikecapi masa kini berbanding 30 tahun lalu banyak berbeza yang mana masyarakat Orang Asli dibantu dalam pelbagai bidang.

Bagi Kamariah Asri, 25, kewujudan banyak kemudahan asas sejak 10 tahun lalu, terutama pembinaan jalan raya dan penyediaan bekalan air dan elektrik di pedalaman menunjukkan kerajaan tidak mengasingkan mereka.

"Bantuan jangka pendek seperti pemberian barangan keperluan asas juga banyak diterima mereka daripada ADUN setempat, selain pembangunan jangka panjang yang menguntungkan," katanya.

Berita Harian X