Jumaat, 30 March 2018 | 12:37pm
PEGAWAI Sains dan Pemeliharaan KK Wetlands, Mohd Nurazmeel Mokhtar, 24, melalui sebuah reban ayam kampung yang terdapat di hutan paya bakau, di Tapak Ramsar Tanah Lembap (KK Wetlands), di Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin.
PEGAWAI Sains dan Pemeliharaan KK Wetlands, Mohd Nurazmeel Mokhtar, 24, melalui sebuah reban ayam kampung yang terdapat di hutan paya bakau, di Tapak Ramsar Tanah Lembap (KK Wetlands), di Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin.

KK Wetlands diancam pencemaran plastik

KOTA KINABALU: Kota Kinabalu Wetlands, kawasan tanah lembap berkepentingan antarabangsa (Ramsar) yang terletak di tengah bandar raya ini berdepan ancaman pencemaran sampah plastik.

Bahan berkenaan yang dihanyutkan melalui sungai adalah akibat perbuatan segelintir masyarakat menjadikan laut dan sungai sebagai tempat membuang sampah hingga menjejaskan hidupan marin termasuk tumbuhan di paya bakau.

Pegawai Sains dan Konservasi Persatuan Pemuliharaan Tanah Lembap Sabah (SWCS), Mohd Nurazmeel Mokhtar, berkata botol plastik adalah sampah paling banyak dihanyutkan ke kawasan paya bakau seluas 24 hektar itu iaitu mewakili 80 peratus daripada semua jenis sampah.

Katanya, sebagai langkah menangani masalah itu, pihaknya memasang dua perangkap bagi menapis sampah bersaiz besar seperti tayar dan barangan rumah yang lain.

Bagaimanapun, katanya, sukar untuk pihaknya mengenal pasti lokasi sebenar dari mana sampah itu dihanyutkan.

"Bahan buangan ini, khususnya plastik membebaskan bahan kimia berbahaya yang akan memberi kesan kepada tumbuhan dan kualiti air.

"Sampah yang hanyut turut menjejaskan pemandangan, apatah lagi ramai pelawat datang ke kawasan paya bakau itu yang menempatkan kira-kira 30 spesies bakau dan 90 spesies burung.

"Ia termasuk burung yang berhijrah selain 21 spesies ikan dan akuatik," katanya di sini, hari ini.

Selain botol plastik, tinjauan di kawasan paya bakau itu turut menemui bahan buangan lain seperti selipar, tong, kota penyejuk, bola dan botol kaca.

KK Wetlands adalah tapak Ramsar ketujuh negara yang diisytiharkan pada Mac tahun lalu, merekodkan kira-kira 9,000 pelancong tempatan dan antarabangsa setahun.

Mohd Nurazmeel berkata, secara purata tiga kumpulan sukarelawan kebanyakannya membabitkan sekolah datang ke kawasan paya bakau berkenaan setiap bulan.

Bagaimanapun, katanya, selepas dikutip, air pasang akan menghanyutkan semula sampah ke kawasan paya menyebabkan masalah pencemaran sampah di kawasan itu tidak berkesudahan.

Selain itu, katanya, pihaknya menemui sampah lama plastik yang terperangkap di celah akar pokok bakau, dipercayai berasal dari penempatan setinggan di lokasi berhampiran sebelum paya bakau itu diwartakan sebagai kawasan perlindungan.

Sementara itu, tinjauan di kawasan paya bakau di Kampung Rampayan, Manggatal, di sini, mendapati keadaan pencemaran sampah lebih teruk dengan sampah seperti peti televisyen dan topi keledar ditemui di situ.

Pengasas Trash Hero Borneo, Monica Chin, berkata botol plastik adalah sampah paling banyak dikutip ketika pertubuhan bukan kerajaan kerajaan (NGO) itu menjalankan aktiviti pembersihan pantai dan batu karang di sekitar bandar raya ini.

"Kita perlu menghentikan perbuatan suka membuang sampah merata tempat dan untuk itu, perlu ada perubahan minda barulah tiada sampah.

"Paling tidak kita boleh guna botol air sendiri, berhenti menggunakan plastik dan bawa beg yang boleh digunakan semula untuk membeli belah," katanya.

Berita Harian X