Ahad, 1 April 2018 | 4:31pm
NANCY menyampaikan replika cek kepada Rumah Amal Kasih Kota Kinabalu pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra anjuran Koperasi Kakitangan LPKP Sabah di Kota Kinabalu.

Perkhidmatan teksi perlu berubah ikut peredaran zaman

KOTA KINABALU: Pemandu teksi konvensional diingatkan tidak menganggap e-hailing (e-panggilan) sebagai ancaman dalam menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai, sebaliknya perlu berubah mengikut peredaran zaman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pemandu teksi sepatutnya menggunakan perkhidmatan e-hailing itu sebagai peluang dalam mengimbangi tawaran perkhidmatan dengan permintaan serta aliran pasaran terkini.

Katanya, pemandu teksi ketika ini perlu menerima hakikat bahawa aliran tempahan perkhidmatan teksi tidak sama seperti 10 tahun lalu.

"Rakyat kini ada lebih pilihan untuk perkhidmatan pengangkutan awam, dari pintu ke pintu. Walaupun ada pengguna yang memilih e-hailing, ia tidak bermakna perkhidmatan teksi sudah tidak relevan.

"Saya juga menggalakkan penyedia perkhidmatan e-hailing untuk memberi tumpuan lebih untuk membawa pemandu teksi menyertai platform mereka," katanya ketika Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Koperasi Kakitangan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Nancy mengingatkan LPKP Sabah supaya proaktif dalam mengemas kini maklumat Program Transformasi Industri Teksi (TITP) kepada pemandu teksi, termasuk memberi penjelasan kepada mereka yang kurang memahami konsep program.

Nancy berkata, TITP meletakkan kebajikan dan keselesaan pengusaha dan pemandu teksi sebagai keutamaan dengan menyelesaikan isu struktur yang sudah lama melanda industri teksi.

Katanya, beliau sudah beberapa kali bertemu pengusaha dan pemandu teksi bagi menjelaskan maklumat sebenar mengenai perkhidmatan e-hailing dan bagaimana TITP dapat membuka lembaran baharu kepada mereka melalui inisiatif yang disediakan.

"Saya dapati kebanyakan pemandu teksi yang saya temui sebenarnya tidak memperkemas kini diri dengan maklumat mengenai perkhidmatan e-hailing.

"Ada juga yang kurang tahu mengenai TITP, malah ada isu yang menjadi rungutan mereka sudah lapuk dan ditangani," katanya.

Sementara itu, Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Raime Unggi, menyarankan pemandu teksi menyertai perkhidmatan tempahan secara dalam talian, bagi mempersiapkan diri berdepan model ekonomi baharu.

Berita Harian X