Isnin, 2 April 2018 | 3:10pm
ROSLAM (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Faiz sambil diperhatikan adiknya, Farhah (kanan) di rumahnya di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Tiga beradik yatim piatu sekelip mata

PORT DICKSON: "Sekelip mata kami tiga beradik yatim piatu dan saya masih ingat pesan arwah emak supaya jaga diri baik-baik sebelum dia bertolak ke Perak menghadiri perkahwinan sepupu," kata Farhah Darwish, 17, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu lalu, ibu Farhah, Zahera Ahmad, 55, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta yang dipandu abang, Mohd Faiz Hakim, 18, terbabas di Kilometer 413.1 Lebuhraya Utara - Selatan arah Kuala Lumpur dekat Lembah Beringin, Kuala Kubu Baru

Ayahnya, Darwis Sanja, 45, yang parah di kepala meninggal dunia malam tadi ketika dalam perjalanan dengan ambulans balik ke Port Dickson.

Bagaimanapun, Mohd Faiz Hakim dan seorang adiknya, Nurul Fadilah Aisyah, 13, cuma cedera ringan.

Farhah berkata, dia mengetahui kemalangan yang menimpa keluarganya pada jam 3 petang ketika mengikuti kursus Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yam Tuan Radin, Lukut.

"Sepatutnya saya juga bersama mereka tetapi tak dapat sebab kursus. Saya reda dengan ketentuan Allah namun berharap akan terus tinggal di rumah ini," kata pelajar SMK Pasir Panjang itu.


FARHAH (kanan) yang sebak ditenteramkan rakannya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Menurutnya, bapa saudara ada mengatakan mahu menjaga mereka tetapi perlu berpindah ke Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

"Apa pun kami akan berbincang sebaik selesai urusan pengkebumian ayah di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Raya selesai.

"Arwah ibu selamat dikebumikan di awal pagi semalam. Kehilangan kedua ibu dan bapa sekelip mata itu pasti merubah kehidupan kami tiga beradik," katanya.

Sementara itu, Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kem Terendak, Melaka, Roslam Yusoff berkata, beliau terkejut selepas mendapat tahu bekas pelajarnya, Mohd Faiz Hakim terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan kedua ibu bapanya.

"Saya hadir untuk menyampaikan ucapan takziah warga MRSM Kem Terendak dan sumbangan daripada pihak sekolah kerana Mohd Faiz adalah bekas pelajar kami.

"Mohd Faiz perlu kuat menjaga dua adik perempuannya yang masih bersekolah dan saya percaya dia mampu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kerana dia juga mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini," katanya.

Berita Harian X