Selasa, 3 April 2018 | 7:06pm
MOHAMMED Khusrin (empat kanan) bersama 28 penerima Sumbangan Geran Tahunan Rumah Pemulihan Riqab sempena Majlis Konvensyen Rumah Pemulihan Riqab 2018. - Foto Muhammad Sulaiman

28 RPA terima bantuan RM2.8 juta

KLANG: Sebanyak 28 Rumah Pemulihan Ar-riqab (RPA) di Selangor hari ini menerima bantuan berjumlah RM2.8 juta daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengerusi MAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata jumlah itu adalah bantuan Geran Sukuan 2018 bernilai RM996,000 yang diserahkan kepada 17 RPA dan Geran Tahunan 2018 berjumlah RM852,000 diserahkan kepada 10 lagi RPA.

Katanya, dana berkenaan bertujuan membantu golongan asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan agar mereka kembali ke pangkal jalan.

"MAIS turut memberi Geran Tahunan bernilai RM960,000 untuk Rohingya Education Centre (REC) yang beroperasi di Klang dan Gombak," katanya.

MOHAMMED Khusrin menyampaikan replika cek Sumbangan Geran Tahunan Rumah Pemulihan Riqab bernilai RM960,000.00 untuk Rohingya Education Centre (REC) kepada Pengarah Projek Pendidikan, Persatuan Jaringan Islam Global Masa Depan (JREC), Nur Azlina Abdul Aziz (kanan) sempena Majlis Konvensyen Rumah Pemulihan Riqab 2018 di Hotel Aliya, Klang. - Foto Muhammad Sulaiman

Beliau berkata demikian pada Konvensyen RPA dan penyerahan RPA 2018 di sini, hari ini. Yang turut hadir, Setiausaha MAIS, Datuk Bakhtiar Hussin dan Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Antara RPA yang menerima sumbangan ialah Rumah Safiyyah, Baitul Islah, Shabad PENGKID, Rumah Penjagaan Damai, Rumah Solehah dan PROKIM Malaysia.

Mohammed Khusrin berkata, konvokesyen itu mengumpulkan pengusaha RPA dalam usaha meningkatkan rawatan peserta atau pesakit HIV, penagih dadah, wanita hamil dan anak gelandangan.

‎"Ia juga sebagai pendedahan kepada peserta mengenai pentingnya khidmat kaunseling untuk asnaf riqab, selain memastikan proses pemulihan dan rawatan dijalankan mengikut hukum syarak," katanya.

Berita Harian X