Khamis, 5 April 2018 | 6:57pm
PRESIDEN Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB), Haslinda Khalid (dua dari kanan) melihat pelbagai jenis bunga pada sidang media FLORIA Diraja Putrajaya 2018 di Putrajaya, hari ini. - Foto Suhaila Shahrul Annuar
PRESIDEN Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB), Haslinda Khalid (dua dari kanan) melihat pelbagai jenis bunga pada sidang media FLORIA Diraja Putrajaya 2018 di Putrajaya, hari ini. - Foto Suhaila Shahrul Annuar

'Mini Hobbiton' nanti pengunjung

PUTRAJAYA: Taman 'Mini Hobbiton Malaysia', perkampungan lelaki kerdil yang menjadi salah satu watak utama filem Hollywood, 'The Lord of The Rings', antara tarikan utama akan dipamerkan kepada pengunjung FLORIA Diraja Putrajaya 2018.

Dihiasi dengan ribuan lapan spesies bunga termasuk bunga raya, orkid, heliconia, mawar, kertas, begonia, lily dan kekwa, keindahan taman itu dijamin tidak akan mengecewakan pengunjung yang hadir pada festival berkenaan.

Selain itu, kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail, lebih 400,000 pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan daripada pelbagai spesies dan kultivar juga bakal menghiasi Anjung FLORIA Presint 4, sepanjang sembilan hari penganjuran FLORIA Diraja Putrajaya 2018 bermula 25 Ogos hingga 2 September ini.

Katanya, bertemakan '10 Kegemilangan FLORIA', festival bunga dan taman yang menjadi ikon Putrajaya itu

menjanjikan pengalaman menarik kepada pengunjung dengan komponen dan tarikan baharu termasuk taman ajaib, taman mini, Taman Diraja Perak, taman fertigasi, pavilion bunga antarabangsa, pameran bonsai dan gubahan suiseki.

"Selaras dengan tema 10 Kegemilangan FLORIA, pereka bunga dan arkitek landskap dari 10 negara iaitu Brunei, China, Indonesia, Japan, Korea, Macau, Singapura, Vietnam, Taiwan dan Thailand turut diundang menyertai FLORIA Diraja Putrajaya 2018," katanya pada sidang media FLORIA Diraja Putrajaya 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB), Haslinda Khalid.

Katanya bazar tanaman dan pasar hortikultur yang akan menjual segala keperluan berkebun dan tumbuh-tumbuhan seperti pokok hiasan, buah-buahan, bunga berpasu, perabot taman, peralatan taman, produk bioteknologi dan perkhidmatan landskap dijangka menarik perhatian pengunjung.

"Selain itu, memandangkan FLORIA diadakan pada bulan kemerdekaan, elemen sambutan kemerdekaan akan diterapkan dalam reka bentuk taman dan gubahan setiap kategori yang dipertandingkan," katanya.

Tambah beliau, bagi peminat orkid pula, kira-kira 300 pokok orkid pelbagai spesies akan dipamerkan selain penganjuran pertandingan pokok orkid yang akan memberi penganugerahan dan pengiktirafan kepada pokok hibrid orkid terbaik dengan bentuk, warna dan bunga yang terbaik di Malaysia.

FLORIA Diraja Putrajaya 2018 akan berlangsung pada 25 Ogos hingga 2 September dari jam 9 pagi hingga 10.30 malam (Isnin hingga Khamis) dan dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).

Harga tiket masuk Isnin hingga Jumaat adalah RM12 bagi pemegang MyKad, RM24 (warga asing) manakala kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas (RM6) bagi pemegang MyKad serta RM12 (warga asing).

Harga tiket masuk bagi Sabtu dan Ahad adalah RM15 bagi pemegang MyKad, RM30 (warga asing) manakala kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas (RM8) bagi pemegang MyKad serta RM16 (warga asing). Pengunjung akan diberikan potongan harga 20 peratus jika mereka membeli secara dalam talian.

Berita Harian X