Rabu, 11 April 2018 | 1:55pm
MENTERI Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) bersama Pemangku Pengerusi SPAD, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad melihat bas elektrik selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti - henti Johor Bahru antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan Handal Indah Sdn Bhd, di Hotel Jen, Iskandar Puteri.- Foto Zain Ahmed
PRA pelancaran perkhidmatan myBAS Johor Bahru bas berhenti - henti di sekitar Iskandar Puteri Johor. .- Foto Zain Ahmed

myBAS Johor Bahru babitkan 27 laluan

ISKANDAR PUTERI: Perkhidmatan myBAS Johor Bahru yang akan dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini bakal memperkalkan 27 laluan utama dan perantara merangkumi jarak perjalanan sejauh 16.8 juta kilometer setahun membabitkan 249 bas.

Bagi menjayakan perkhidmatan itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini memeterai kontrak bersama syarikat pengangkutan bas, Handal Indah Sdn Bhd (Handal Indah) menandakan pra-pelancaran myBAS.

Pada majlis menandatangani kontrak myBAS, SPAD diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Qamar Wan Noor, manakala Handal Indah oleh Pengarah Urusannya, Lim Han Weng.

Majlis turut disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pemangku Pengerusi SPAD, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan myBAS menerusi Program SBST itu adalah sesuatu yang sangat kena pada tempatnya.

"Ia (myBAS) adalah pelengkap yang sangat baik kepada segala kerancakan pembinaan infrastruktur pengangkutan yang rancak berlaku di seluruh Johor ketika ini.

"Sebenarnya, sistem myBAS ini bukanlah baharu di negara kita, sejak 2015 myBAS sudah beroperasi di beberapa bandar seperti Kangar, Seremban, Ipoh, dan Kuala Terengganu.

"Alhamdulillah, tahun ini Johor Bahru dipilih untuk menjadi satu lagi destinasi Program SBST," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Sementara itu, Mohd Isa berkata, perkhidmatan myBAS Johor Bahru membabitkan beberapa fasa bermula suku ketiga tahun ini sehingga suku kedua tahun hadapan.

Katanya, perkhidmatan myBAS akan menyediakan kekerapan bas bagi setiap 20 minit berbanding kekerapan 30 minit sebelum ini, membolehkan pengguna di Johor Bahru dan kawasan sekitar menikmati perkhidmatan bas boleh dipercayai serta menyeluruh.

"Sebanyak 249 bas terdiri daripada 222 bas diesel dan 27 bas elektrik akan digunakan dalam perkhidmatan myBAS Johor Bahru secara berperingkat.

"Pelaksanaan ini akan mengutamakan laluan yang mempunyai jumlah penumpang yang tinggi, manakala fasa terakhir akan memperkenalkan penggunaan bas elektrik.

"Handal Indah sebagai pengendali rangkaian akan mengendalikan laluan berkenaan dan akan disokong pengendali tempatan," katanya.

INFO

* Antara laluan utama: JB Sentral-Tebrau-Pandan-Taman Kempas-Permas-AEON Tebrau-Ulu Tiram-Terminal Johor Jaya-Tampoi-Terminal TUTA-Selesa Jaya

* Antara laluan perantara: JB Sentral-Bakar Batu-KSL-Larkin Sentral

989 dibaca
Berita Harian X