Rabu, 11 April 2018 | 9:05pm
NAIB Canselor UMS, Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif MASWings Sdn Bhd, Aminuddin Zakaria pada Majlis menandatangani MoU dengan menghasilkan "livery" atau logo UMS-MASwings pada sebuah pesawat MASwings yang disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi (tengah), di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting.

Logo, nama UMS di badan pesawat MASwings

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menjadi universiti kedua yang namanya terpapar di badan sebuah pesawat MASwings menerusi kerjasama antara UMS dan syarikat penerbangan itu.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin, berkata ini adalah satu sejarah baharu dalam aspek kerjasama strategi universiti - industri yang akan dilakar bersama MASwing dengan menghasilkan "livery" atau logo UMS-MASwings pada sebuah pesawatnya.

"Selepas Universiti Putra Malaysia (UPM), UMS adalah universiti kedua yang namanya akan terpapar di badan pesawat penerbangan ini dengan menggunakan konsep imej, motif dan warna korporat UMS daripada logo rasmi UMS dengan paparan motto universiti iaitu Strive to Excel atau Bertekad Cemerlang.

"Ini adalah kaedah pengukuhan jenama UMS di peringkat global yang patut dibanggakan oleh seluruh warga UMS. Usaha ke arah itu kini sedang dilaksanakan dan kita menjangkakan ia dapat dilaksanakan pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan MASwings Sdn Bhd di sini, hari ini.

Majlis menandatangani MoU antara UMS dan Maswings itu disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi.

Pada majlis MoU itu, UMS diwakili D Kamarudin manakala MASwings oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aminuddin Zakaria.

Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UMS Prof Dr Ismail Ali.

Antara tujuan MoU itu adalah sebagai inisiatif murni dalam mengadakan hubungan kerjasama di samping memperluaskan hubungan dua hala antara dua pihak.

Dalam pada itu D Kamarudin berkata, menerusi MoU itu juga, UMS dan MASwings akan merangka dan melaksanakan sinergi strategik dalam pelbagai aspek termasuk latihan, penyelidikan, pendidikan, pelancongan, kebolehpasaran graduan serta perkhidmatan penerbangan berteraskan bidang yang bersesuaian dengan syarikat penerbangan.

Sementara itu Aminuddin berharap aspirasi UMS dan MASwings untuk merangka serta meneraju perhubungan strategik melalui pelbagai bidang akan melonjakkan nama dan imej kedua pihak.

Berita Harian X