Rabu, 18 April 2018 | 9:42pm
ABD Rahman bersama Muhammad Amir yang menghidap penyakit masalah hati. - Foto Nur Saliawati Salberi

Berhenti kerja jaga anak hidap masalah hati

JASIN: "Apabila doktor memberitahu jangka hayat hidup anak saya tidak lama, gelap seketika dunia sekeliling.

"Bayangkan 10 tahun saya dan isteri menanti kehadiran anak lelaki, tetapi hadirnya dia dengan dugaan selain terpaksa menanggung kesakitan di usia yang masih kecil," luah Abd Rahman Aris, 50, bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lima bulan yang menghidap masalah hati.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, disebabkan anak bongsunya, Muhammad Amir memerlukan penjagaan dan pemerhatian rapi, dia nekad mengambil keputusan berhenti kerja sejak setahun lalu.

Katanya, anaknya itu mula dikesan mengalami masalah hati ketika berusia dua bulan setengah selepas najisnya berwarna kelabu dan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Mengambil keputusan untuk berhenti kerja bukan mudah, tetapi demi memikirkan kesihatan anak dan perlu berulang alik untuk mendapatkan rawatan, saya atau isteri perlu berkorban.

"Biarlah dia berada di depan mata, jadi senang untuk saya urus pembuangan air kecil dan besar, selain ubat yang perlu dimakan sebanyak enam jenis sehari," katanya ditemui di rumahnya di Batu Gajah Pasir, Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Abd Rahman berkata, apa yang diharapkannya kini cuma diberikan keajaiban supaya anaknya itu dapat sembuh dan membesar seperti kanak-kanak yang lain.

"Memang sedih apabila dimaklumkan hayat anak tidak lama, ...setiap hari saya tidak berhenti berdoa supaya penyakitnya dapat sembuh dan ada individu yang sudi mendermakan hati untuknya.

"Saya dan isteri sudah menjalani pemeriksaan untuk mendermakan sebahagian hati, malangnya atas faktor kesihatan kami tidak sesuai," katanya.

Abd Rahman turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), sekali gus dapat mengurangkan beban perbelanjaan keluarganya yang kini bergantung sepenuhnya kepada isteri yang bekerja sebagai operator kilang.

Katanya, akibat penyakit itu juga Muhammad Amir sukar tidur malam dan sering meragam kerana badannya menjadi gatal.

"Alhamdulillah, walaupun sakit dia aktif seperti kanak-kanak normal lain cuma dalam sehari dia akan membuang air besar dan kecil kira-kira 15 kali.

"Tetapi, ada kalanya saya malu dengan jiran kerana dia sering menangis pada waktu malam kerana sukar tidur akibat panas menjadikan badannya gatal. Ikutkan mahu membeli pendingin hawa, tetapi saya tidak mampu," katanya.

Berita Harian X