Ahad, 22 April 2018 | 5:36pm
SYARIFFAH Nurlidawati (kiri) bersama anaknya, Mohammad Syaffiq Iqbal pada Kempen Kesedaran Autisme 2018 di Seremban, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Menitis air mata anak autisme dipandang serong

SEREMBAN: Syariffah Nurlidawati Mohamad Zen, 38 pernah menitiskan air mata apabila melihat anaknya kerap dipandang sinis oleh orang lain kerana tingkah lakunya yang dianggap bebeza dengan kanak-kanak lain.

Beliau menyedari anak tunggal, Mohammad Syaffiq Iqbal Mohd Zulkanain yang kini berusia lapan tahun menghidap autsime selepas menghantarnya ke tadik ketika berusia empat tahun.

Menurutnya, sebagai ibu pastinya terkejut apabila dimaklumkan oleh guru yang anaknya mempunyai simptom autisme.

"Saya membuat penyelidikan dan mencari maklumat untuk memahami mengenai autisme. Saya juga perlu berulang alik dari Seremban ke Kuala Lumpur untuk menghantar anak mendapatkan rawatan di sebuah pusat khas autisme sebelum mengetahui mengenai Pusat Pembelajaran Khas Chrysalis (CSLC) di Seremban.

"Saya bersyukur anak menunjukkan perubahan yang amat positif dan sebab itulah saya terdorong membantu lebih ramai ibu bapa dan membentuk kesedaran masyarakat mengenai autisme.

"Sebab itu, kini saya nekad untuk membantu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai autisme," katanya.

Beliau ditemui pada Kempen Kesedaran Autisme 2018 yang diadakan di pusat beli belah, Palm Mall di sini, hari ini.

Sebagai ibu yang mempunyai anak autisme, Syariffah Nurlidawati berkata, kanak-kanak seperti itu amat memerlukan bimbingan dan sokongan masyarakat selain ahli keluarga dalam menjalani hidup dengan pelbagai cabaran.

SYARIFFAH Nurlidawati (belakang, tengah) beramah mesra bersama kanak-kanak autisme sempena Kempen Kesedaran Autisme 2018 di Seremban, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya, masyarakat di negara ini masih kurang pendedahan dan menganggap kanak-kanak autisme tidak dapat dibantu sedangkan mereka mempunyai bakat seni yang amat baik sekiranya diberi peluang.

Bagi ibu kepada Adriel Koh, 29, yang mempunyai bakat besar dalam menyusun permainan puzzle menjadi lukisan, Patricia Koh berkata, anaknya disedari menghidap autisme ketika berusia dua tahun yang menjejaskan kebolehan berkomunikasi dan interaksi sosial.

Namun, katanya, beliau tidak putus asa mendidik anaknya selain menghantar ke sebuah bengkel khas untuk membantu mengembangkan keupayaannya sehingga mampu membaca, bermain muzik, menyusun permainan puzzle dan berdikari.

Beliau berharap kerajaan memberi lebih peluang dan membantu golongan autisme supaya mereka juga dapat menikmati kualiti hidup dan peluang pekerjaan seperti golongan lain.

Berita Harian X