Khamis, 26 April 2018 | 7:01pm
DATUK Abdul Malik Abdul Kassim. - Foto NSTP
DATUK Abdul Malik Abdul Kassim. - Foto NSTP

Abdul Malik dilantik Yang Dipertua MAIPP

GEORGETOWN: Kerajaan negeri hari ini mengumumkam bekas EXCO Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Pelantikan Abdul Malik yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu menggantikan Datuk Mohd Salleh Man, yang tamat kontrak pada 31 Disember 2017.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus, berkata pemilihan Abdul Malik mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, dan ia akan berkuatkuasa bagi tempoh dua tahun.

"Selain Abdul Malik, kerajaan negeri juga melantik Datuk Dr Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman sebagai Timbalan Yang Dipertua MAIPP.

"MAIPP turut memilih lima ex-officio, antaranya ialah Mufti negeri, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, dan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Sebelum ini, kedudukan Mohd Salleh dalam pentadbiran kerajaan negeri dipertikaikan ramai pihak berikutan beliau menjadi satu-satunya wakil rakyat PAS yang masih bekerjasama dengan pakatan pembangkang.

Susulan itu, PAS Pulau Pinang menggugurkan Mohd Salleh daripada dicalonkan semula di kerusi DUN Permatang Pasir pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada PRU-13, Mohd Salleh memenangi kerusi berkenaan dengan memperoleh majoriti 6,826 undi.

Berita Harian X