Jumaat, 27 April 2018 | 11:54am

726 borang penamaan dijual SPR Johor

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor sudah menjual 726 borang penamaan calon, termasuk 451 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), setakat malam tadi.

Pengarahnya, Shafie Taib, berkata jumlah itu termasuk borang dijual kepada mereka yang mahu bertanding sebagai calon bebas membabitkan di 56 kerusi DUN dan 26 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Sebanyak 275 borang penamaan calon bagi kerusi Parlimen dan 451 bagi kerusi DUN sudah terjual sehingga semalam," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Shafie berkata, kira-kira 30,000 petugas akan membantu operasi SPR Johor pada pilihan raya kali ini.

Mana-mana individu yang berhasrat menjadi calon PRU-14 masih boleh mendapatkan borang-borang pencalonan bagi kerusi Parlimen dan DUN sehingga jam 5 petang hari ini.

Johor mencatatkan seramai 1.8 juta pemilih berdaftar bagi PRU14, mengikut Daftar Pemilih Terkini Suku 4 Tahun 2017.

Jumlah itu meningkat kepada kira-kira 300,000 pemilih berbanding 1.5 juta pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Berita Harian X