Jumaat, 27 April 2018 | 12:01pm
MURID SK Pekan Kiulu yang akan mewakili Malaysia dalam pertandingan Tarian Etnik Kreatif peringkat antarabangsa di Sepanyol. - Foto Recqueal Raimi

8 murid SK Kiulu pamer bakat di Sepanyol

TUARAN: Lapan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kiulu, di sini, akan mewakili Malaysia dalam pertandingan Tarian Etnik Kreatif peringkat antarabangsa di Sepanyol, pada 22 hingga 30 Jun ini.

Peserta berusia 11 hingga 12 tahun dan tiga guru pengiring itu dipilih selepas merangkul johan dan tempat ketiga dalam dua kategori tarian peringkat kebangsaan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, Februari lalu.

Guru SK Pekan Kiulu, Debbie Janes Lim, berkata melalui kejohanan tarian itu, murid berpeluang mendapat pengalaman baharu serta memupuk minat untuk mengukuh potensi serta kreativiti khususnya dalam bidang tarian.

"Program seperti ini bukan sekadar menunjukkan kehebatan luar biasa tetapi menggabungkan pendidikan secara menyeluruh, kerjasama secara berkumpulan, fokus, disiplin dan kreativiti.

"Saya yakin kemahiran yang dikuasai mereka mampu memberikan saingan hebat kepada pasukan dari negara lain," katanya kepada NSTP.

Peserta, Ahmad Danial Aiman Sam, 11, berkata dia dan rakannya kali pertama akan bertanding di luar negara dan mengakui sedikit gementar sebaik dimaklumkan terpilih ke Sepanyol.

"Kami masih ada masa hampir dua bulan. Jadi, kami tidak akan sia-siakan masa ini dan akan berusaha mengharumkan nama sekolah dan negara," katanya.

Semua peserta itu turut mendapat sumbangan daripada penyandang Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau selepas Pelancaran Program 'Komuniti Kita, Tanggungjawab Kita' di Dewan Masyarakat Kiulu di sini.

Yang turut hadir ialah penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

Berita Harian X