Sabtu, 5 Mei 2018 | 6:23pm
TIMBALAN Pengerusi KETENGAH, Datuk Din Adam (lima dari kanan) dan Pengurus Besar KETENGAH, Ismail Omar bergambar bersama penerima bantuan peningkatan pendapatan dan penerima geran tanah pada majlis Pecah Tanah Program Pemajuan Kawasan dan Mesra Rakyat di Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS - Foto Foto Rosli Ilham

KETENGAH peruntuk RM20 juta untuk perumahan penduduk miskin

DUNGUN : Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah KETENGAH akan membina sebanyak 130 buah rumah teres kepada penduduk di kawasan Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS).

Timbalan Pengerusi KETENGAH, Datuk Din Adam berkata, projek pembinaan perumahan terbabit yang bernilai RM20 juta itu akan dimulakan pembinaannya pada Julai nanti.

Menurutnya, peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah disalurkan kepada KETENGAH dan kontraktor pembinaan akan dilantik dalam tempoh segera.

"Kita jangka rumah yang bernilai RM60,000 seunit ini akan disiapkan sepenuhnya pada akhir tahun depan," katanya mewakili Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein merasmikan Majlis Pecah Tanah Program Pemajuan Kawasan dan Mesra Rakyat di AMBS, hari ini.

Program yang turut dihadiri Pengurus Besar KETENGAH, Omar Ismail itu turut menyampaikan geran tanah kepada 73 penduduk.

Din berkata, rumah terbabit berkeluasan 660 meter persegi tu mengandungi tiga bilik serta dua buah bilik air.

"Kita akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengenalpasti golongan miskin serta golongan yang layak untuk kita berikan rumah ini.

"Apabila siap kelak, kita akan mempertimbangkan sama ada rumah ini akan diberi percuma atau sebaliknya dan kita sememangnya kalau boleh nak bagi percuma kepada rakyat," katanya.

Katanya, rumah yang akan dibina di atas kawasan seluas lapan hektar itu akan turut dibina sebuah surau dan empat unit premis perkedaian.

"Ini bukan janji politik, kita dah terima peruntukan itu dan akan segera kita bina demi menyelesaikan masalah perumahan kepada golongan miskin," katanya.

Berita Harian X