Ahad, 6 Mei 2018 | 1:18pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan (dua kiri) melihat replika rumah selepas melancarkan Projek Perumahan Generasi Kedua Sendayan di Taman Bukit Sendayan, Seremban. - Foto Hazreen Mohamad

MB kota janji kepada warga Sendayan

SEREMBAN: Baru setahun janji diberi, Datuk Seri Mohamad Hasan sudahpun menunaikannya dengan melancarkan Projek Perumahan Generasi Kedua Sendayan di Taman Bukit Sendayan di sini, hari ini.

Menteri Besar itu berkata, sebanyak 60 unit rumah teres setingkat berharga bawah RM80,000 dibina Matrix Concepts Holdings Berhad dengan subsidi berjumlah RM7 juta.

"Kediaman akan dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan berkeluasan 92 meter persegi ini disediakan khas untuk generasi kedua serta ketiga Sendayan yang sudah berkahwin, berpendapatan bawah RM3,000 dan belum memiliki rumah," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek itu.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan.

Beliau berkata, pemohon perlu mendapatkan pengesahan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau masjid sebagai anak jati Sendayan, sebelum menghantar borang ke Unit Perumahan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri juga akan melaksanakan projek sama dengan membina 182 unit rumah di Jalan Jimah, Sendayan, dan 4,000 kediaman di Labu.

"Kerajaan negeri turut melancarkan pembinaan 850 unit rumah di Iringan Bayu, Mambau, yang dijual pada harga RM80,000. Ia hadiah untuk penduduk yang bersama kerajaan membangunkan negeri," katanya.

Mohamad berkata, pembinaan kediaman mampu milik yang harga pasaran sebenarnya ialah RM200,000 seunit itu sekali gus menyelesaikan masalah pertikaian berkaitan tanah di Sendayan sejak 1996.

Beliau berkata, projek itu terkandung dalam dasar pembangunan Negeri Sembilan 2015-2045 yang turut diakui kebaikannya oleh pembangkang.

Berita Harian X