Rabu, 9 Mei 2018 | 4:01pm
HASNURUL Jannah Bon ketika ditemui di pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Serendah, Hulu Selangor, hari ini. - Foto Amrullah Abdul Karim
HASNURUL Jannah Bon ketika ditemui di pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Serendah, Hulu Selangor, hari ini. - Foto Amrullah Abdul Karim

Ibu dalam pantang lima hari keluar mengundi

HULU SELANGOR: Biarpun baru melahirkan anak lima hari lalu, seorang ibu yang sedang pantang bersalin tetap menggagahkan diri untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hasnurul Jannah Bon, 24, berkata dia sedikit gementar tambahan pula mengundi buat pertama kali bersendirian tanpa ditemani suaminya kerana menjaga bayi perempuan mereka di rumah.

"Saya memang sudah bersedia dengan keadaan ini. Jangkaan tarikh bersalin pada 29 April, tetapi anak saya lahir 1 Mei.

"Saya anggap mengundi ini tanggungjawab setiap rakyat Malaysia, jadi saya juga wajib tunaikan selagi terdaya," katanya ketika ditemui NSTP pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Serendah, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang warga emas, Mohd Zabur Omar, 83, mengundi di pusat pengundian di ke Sekolah Kebangsaan Sungai Buaya (SKSB) untuk kali ke-13 dalam hidupnya.

Mohd Zabur yang ditemani isteri, Fatimah Sarian, 72, berkata dia mengundi kali pertama pada PRU-2 tahun 1959 di Tanjung Karang.

"Dahulu tidak ramai mengundi macam sekarang, tak perlu beratur panjang. Kali ini saya beratur hampir sejam walaupun datang seawal jam 8 pagi," katanya.

Dalam pada itu, seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Faizul Mohamad, 54, menjadi orang pertama memasukkan kertas dalam peti undi di SKSB pada jam 8 pagi.

Faizul berkata, dia hadir sebagai petugas keselamatan dan perlu mengundi lebih awal.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X