Isnin, 14 Mei 2018 | 2:45pm
KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) menyempurnakan "Hackwknd International Digital Economy Conference" Sarawak (IDECS) 2018 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Sarawak ada dana sendiri bangunkan ekonominya

KUCHING: Keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak menolak untuk beralih sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Kerajaan Pusat dibuat bersandarkan keteguhan ekonomi negeri ini yang bernilai RM130 bilion tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, ketika menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) 2018, ketika berucap kekal menyatakan inisiatif pihaknya meneruskan pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) bernilai RM11 bilion, sepanjang 155 kilometer, menjelang 2024.

Bukan itu sahaja, Abang Johari sekali lagi mengumumkan inisiatif peningkatan jaringan jalur lebar bernilai RM1 bilion bagi meningkatkan kepantasan internet di seluruh negeri ini kepada 100 megabit persaat (mbps) di kawasan bandar dan 20 hingga 80mbps di kawasan luar bandar untuk dilaksana dalam tempoh tiga tahun.

"Sehingga kini, penembusan perhubungan membabitkan liputan 3G adalah 78 peratus, dan bagi 4G adalah 48 peratus. Sebanyak 1,532 menara telekomunikasi sudah dibina di negeri ini dan tambahan pembinaan sebanyak 657 menara akan dilaksanakan tahun ini.

"Menjelang penghujung 2020, saya yakin Sarawak akan diliputi liputan menyeluruh," katanya ketika perasmian di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Selain itu, pada majlis sama, Abang Johari turut menyatakan kepentingan pembinaan Jaringan Bekalan Air Negeri membabitkan kos RM7 hingga RM8 bilion.

"Jaringan bekalan air berkenaan penting demi menjamin keselamatan makanan. Sarawak sudah mengeksport RM1 bilion nilai makanan dan mengimport RM4.6 bilion makanan.

"Justeru, rancangan pengairan bersepadu perlu dilaksana bagi meningkatkan hasil tani meningkat kepada lima kali ganda lebih tinggi," katanya.

Justeru, bersandarkan 'mesej' yang disampaikan Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada IDECS 2018 berkenaan, kemungkinan perubahan keputusan untuk kerajaan negeri kekal sebagai kerajaan pembangkang kemungkinan tidak akan berubah.

Rabu ini, PBB yang menjadi tunjang BN Sarawak akan mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat parti itu, di Jalan Bako di sini, dan dijangka Abang Johari dijangka mengadakan sidang media khas berkaitan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), yang menyaksikan BN Sarawak hilang enam kerusi, berbanding 25 kerusi pada PRU-13.

Berita Harian X