Isnin, 14 Mei 2018 | 7:04pm
(DARI kiri) Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pada sidang media selepas pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur di Menara DBKL, hari ini. - Foto Nik Hariff Hassan

3 Ahli Parlimen jumpa Datuk Bandar KL

KUALA LUMPUR: Tiga daripada 11 Ahli Parlimen ibu negara mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi mendapatkan laporan terperinci berkaitan projek kerajaan terdahulu.

Laporan penuh itu termasuk penjualan 64 tanah lot oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Yayasan Wilayah Persekutuan antara 2014 hingga 2018, yang mana hanya 30 lot dibina rumah mampu milik manakala selebihnya untuk tujuan komersial dan pembinaan kondominium.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berkata pertemuan tidak rasmi itu mendapat maklum balas positif daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.

Katanya, pertemuan selama 30 minit itu turut membangkitkan beberapa perkara berkaitan infrastruktur, pelan struktur Bandaraya Kuala Lumpur dan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Kita menghargai kesediaan DBKL untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membolehkan wakil rakyat melaksanakan janji.

"Malah, Datuk Bandar berjanji akan mengadakan pertemuan rasmi dengan semua 11 ahli parlimen untuk berkongsi pelan pembangunan bandar raya lestari dan mapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng di Menara DBKL, hari ini.

Fahmi berkata, DBKL memaklumkan projek yang sudah diluluskan akan diteruskan, manakala projek yang belum diluluskan atau di peringkat cadangan termasuk pembangunan tanah lapang, ditangguhkan serta-merta.

"Ini juga berkaitan sebarang cadangan yang dimasukkan dalam Bajet DBKL 2018 sebelum ini, difahamkan tidak akan diteruskan hingga kita memperoleh maklumat lanjut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut dijanjikan DBKL bahawa belanjawan berkenaan akan diberikan sepenuhnya kepada ahli parlimen yang baharu.

Mengenai kawasan beliau bertanding, Fahmi berkata, pemutihan senarai akan dilakukan berikutan ada antara 20 hingga 30 pengundi beralamat satu kediaman projek perumahan rakyat (PPR) dan ia jelas melanggar peraturan DBKL.

Selain itu, katanya, proses pelantikan Datuk Bandar mungkin lebih sesuai jika ia dilakukan menerusi sistem pilihan raya pihak berkuasa tempatan.

"Justeru, kita akan melihat proses perjalanan pilihan raya kerajaan tempatan di negara lain, misalnya di United Kingdom atau Australia untuk dipraktikkan di sini.

"Ini kerana kita perlu memikirkan semula siapa sepatutnya mempunyai hak pilihan raya kerajaan tempatan berikutan ia satu proses demokrasi yang mengharapkan lebih ramai warga Kuala Lumpur terbabit dan berikan pandangan mereka.

"Ini bertentangan dengan negara ini, berikutan Datuk Bandar dilantik menerusi lantikan parti politik yang memerintah," katanya.

Sementara itu, Lip Eng berkata, laporan terperinci itu penting bagi melihat siapa yang membuat permohonan, siapa yang meluluskan sama ada melalui tender terbuka dan kegunaan tanah yang dijual.

"Kita mahu lihat semua data, siapa yang meluluskan dan apa perincian dokumen. Kita bukan mahu membalas dendam tetapi mahu menegakkan keadilan," katanya.

Berita Harian X