Selasa, 15 Mei 2018 | 2:35pm

Kadar zakat fitrah di Sabah kekal RM7

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menetapkan kadar zakat fitrah di Sabah kekal RM7 tahun ini dan kadar itu tidak berubah sejak tujuh tahun lalu.

Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, berkata kadar itu ditetapkan bagi seseorang individu atau bersamaan nilai segantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras yang dimakan majoriti rakyat negeri ini.

"Pusat Zakat Sabah (PZS) juga sudah melantik 2,000 wakil amil dan 37 penyelaras wakil amil bagi menyelaras serta memungut zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.

"Semua wakil amil ini akan dibekalkan dengan kad kuasa bagi mengelakkan masyarakat Islam mengeluarkan fitrah kepada orang tidak bertanggungjawab dan bukan menerima pentauliahan," katanya ketika sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Kadar Zakat Fitrah Negeri Sabah 2018 di sini, hari ini.

Bungsu berkata, PZS mengutip zakat kira-kira RM88.3 juta, termasuk zakat fitrah dan harta tahun lalu dengan pembayar zakat fitrah seramai 1,336,608 orang, iaitu menunjukkan peningkatan 27,548 pembayar berbanding 1,309,060 pada 2016.

Dalam pada itu, Aziz berkata pihaknya menjangkakan mengutip RM9.6 juta pungutan zakat fitrah Ramadan, selain RM62.2 juta zakat harta sepanjang tahun ini.

"Kita juga memperuntukkan sebanyak RM9.4 juta bagi agihan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf bertujuan persediaan mereka untuk menyambut Syawal.

"Selain itu, sebanyak RM1.2 juta diberikan kepada amil fitrah sebagai upah kerana bertugas memungut serta mengagihkan zakat fitrah sepanjang Ramadan," katanya.

Berita Harian X