Selasa, 15 Mei 2018 | 3:45pm

Masjid Kampung Baru agih 3,000 bungkus bubur lambuk

KUALA LUMPUR: Pengurusan Masjid Kampung Baru memasak 15 periuk bubur lambuk bersamaan 3,000 bungkus sehari, bermula 1 Ramadan hingga 26 Ramadan ini.

Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Idris Shaari Mat Aris, berkata pihak masjid membelanjakan lebih RM100,000 setiap tahun bagi penyediaan hidangan itu.

Katanya, sebanyak 5,850 kilogram beras digunakan bagi memasak bubur lambuk yang terus menjadi tumpuan warga kota setiap kali Ramadan tiba.

"Setiap hari, orang ramai mula berkumpul di pekarangan masjid sejak jam 4 petang dan kami membuka dua barisan iaitu untuk jemaah masjid dan orang ramai.

"Kami hanya mengambil masa setengah jam untuk mengagihkannya selepas solat Asar," katanya ketika ditemui NSTP yang membuat tinjauan persiapan menyediakan bubur lambuk di Kampung Baru, di sini, hari ini.

Idris berkata, bagi menyempurnakan tugas penyediaan bubur lambuk, ia diketuai seorang tukang masak, dibantu lapan orang pekerja.

Katanya, pihak masjid juga ada pasukan khas untuk membungkus bubur lambuk.

"Setiap tahun, masjid menerima sumbangan beras daripada peniaga di sekitar Kampung Baru manakala bahan untuk dijadikan ramuan dibeli sendiri," katanya.

Menceritakan keenakan bubur lambuk Kampung Baru yang sinonim dengan Ramadan, Idris berkata, tiada rahsia tertentu dalam penyediaannya.

"Kami menggunakan resipi yang biasa sahaja dan tidak pernah merahsiakan bahan yang digunakan serta tidak pernah mengurang atau menambah ramuan. Mungkin juga keberkatan bersedekah kepada orang ramai membuatkan ia rasa sedap," katanya.

SETIUSAHA merangkap imam Masjid Kampung Baru, Saifuzzaman Mohamed Salleh menyusun puluhan beg beras sebagai persediaan memasak bubur lambuk untuk orang ramai sempena sambutan bulan Ramadan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff

ABU Bakar Mohamad, 72 menyediakan bahan untuk persediaan memasak bubur lambuk untuk orang ramai sempena sambutan bulan Ramadan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff
ABU Bakar Mohamad, 72 menyediakan bahan untuk persediaan memasak bubur lambuk untuk orang ramai sempena sambutan bulan Ramadan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X