X
Sabtu, 19 Mei 2018 | 11:51am
Orang ramai yang berkunjung ke Bazar Ramadan berhampiran Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban. - Foto Adzlan Sidek
Orang ramai yang berkunjung ke Bazar Ramadan berhampiran Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban. - Foto Adzlan Sidek

JKNS pantau peniaga bazar Ramadan

SEREMBAN: Peniaga di bazar Ramadan seluruh negeri ini berdepan tindakan penguatkuasaan sekiranya didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS).

Pengarahnya, Dr Zainudin Mohd Ali berkata, peniaga bertanggungjawab dalam memastikan makanan dan minuman yang dijual bersih serta selamat untuk dimakan bagi mengelakkan isu pencemaran dan keracunan makanan.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan kebersihan di semua bazar Ramadan secara berkala dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Antara standard kebersihan yang ditetapkan oleh JKNS ialah kebersihan premis makanan seperti sumber air dan ais yang bersih.

"Peniaga juga perlu memakai apron dan menggunakan peralatan sesuai, selain mengambil suntikan tifoid serta mengikuti latihan pengendalian makanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun akan dikenakan terhadap peniaga sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 2009.

Beliau berkata, jika pelanggan menyedari wujud tanda keracunan makanan seperti merasa loya, muntah, cirit birit atau sakit perut, mereka perlu mendapatkan rawatan di hospital atau klinik berdekatan dengan segera untuk mengenal pasti punca sebenar.

Beliau meminta orang ramai menyalurkan sebarang aduan berkaitan di Pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan lanjut.

Zainudin berkata, pihaknya juga akan menjalankan operasi pemantauan penjualan produk melepasi tarikh luput di pasar raya dan kedai runcit bagi melindungi kepentingan pengguna.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X