Sabtu, 19 Mei 2018 | 5:00pm

MAINJ kesan amil tiada tauliah kutip zakat

JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengesan taktik kumpulan amil luar tidak bertauliah MAINJ yang dikesan mengutip zakat secara tidak sah dari orang ramai dan syarikat dengan menawarkan pulangan sehingga 50 peratus.

Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal & Wakaf MAIJ, Yosree Ikhsan berkata, kegiatan berkenaan dikesan sejak tahun lalu hingga menjejaskan sasaran kutipan zakat berjumlah RM270 juta tahun lalu.

Katanya, dengan bergerak secara kumpulan kecil, amil tidak bertauliah itu menggunakan saluran internet, termasuk menghantar emel kepada syarikat tertentu.

"Menerusi emel berkenaan, amil terbabit akan memberikan nombor akaun bank dengan membayar zakat secara online.

"Sedangkan secara hukum ia tidak sah, tidak mematuhi arahan pemerintah, selain zakat itu lebih afdal dibayar di mana kita bekerja," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, amil terbabit juga turut menggunakan institusi sekolah pondok di negeri ini untuk mengutip zakat terbabit.

Sehubungan itu katanya, umat Islam di negeri ini perlu memastikan pembayaran zakat dilakukan kepada amil yang dilantik MAINJ atau negeri masing-masing.

"Kami minta pembayar zakat melaksanakan tanggungjawab membayar zakat menerusi amil sah yang dilantik oleh MAINJ.

"Setiap amil bertauliah memiliki kad kuasa yang sah untuk mengutip zakat di negeri ini," katanya isu berkenaan juga sudah mendapat perhatian Jabatan Zakat, Wakaf dan Haji (JAWHAR).

Katanya, tindakan terhadap amil tanpa kuasa boleh dilakukan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Mengikut Seksyen 33 berkaitan pemungutan zakat atau fitrah tanpa kuasa memperuntukan mana-mana orang yang memunggut zakat atau fitrah atau menyebabkan dipungut zakat atau fitrah tanpa dilantik sebagai amil atau selainnya oleh majlis adalah melakukan suatu kesalahan.

Mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah juga boleh memerintahkan supaya pungutan itu dirampas dan dibayar ke dalam Kumpulan Wang yang ditubuhkan di bawah Seksyen 39 Enakmen Pentadbiran.

Yosree berkata, pembayaran zakat juga bukan hanya sekadar zakat fitrah semata-mata, tetapi merangkumi zakat harta iaitu pendapatan, perniagaan dan simpanan, emas dan lain-lain.

Sementara itu katanya, terdapat 1984 amil harta dan fitrah dilantik MAINJ untuk mengutip zakat pada tahun ini bagi mencapai sasaran kutipan zakat keseluruhan berjumlah RM270 juta.

"Amil berkenaan ditempatkan di surau dan masjid di seluruh negeri ini, selain pembukaan kaunter biasa oleh kakitangan MAINJ di pusat beli belah.

"Malah MAINJ juga menggerakkan kaunter bas bergerak untuk mengutip zakat dengan operasinya membabitkan pusat beli belah seperti Mydin Bandar Baru UDA dan Maybank Bandar Baru UDa," katanya.

Berita Harian X