Sabtu, 19 Mei 2018 | 5:07pm
MENTERI Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin (dua dari kanan) merakam kenangan bersama pemancing dari luar Negara, selepas menyampaikan hadiah pertandingan memancing laut dalam di Miri. - Foto Kandau Sidi
MENTERI Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin (dua dari kanan) merakam kenangan bersama pemancing dari luar Negara, selepas menyampaikan hadiah pertandingan memancing laut dalam di Miri. - Foto Kandau Sidi

Penerbangan Miri-Singapura lonjak pelancongan Sarawak

MIRI: Penerbangan terus dari Singapura ke Miri yang diperkenalkan syarikat penerbangan, AirAsia diyakini mampu melonjakkan sektor pelancongan di negeri ini, khususnya utara Sarawak.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Lee Kim Shin, berkata langkah itu bakal memacu sektor pelancongan ke arah yang lebih memberangsangkan, selain memudahkan pelancong luar mendapatkan penerbangan terus dari Singapura ke Miri.

"Apabila penerbangan terus ditawarkan kedua-dua destinasi ini, ia sudah pasti akan memudahkan pelancong asing datang ke Miri untuk menikmati keindahan dan keunikan alam semula jadinya.

"Sektor pelancongan di negeri ini masih banyak yang boleh dieksploitasi dan ia dilihat antara sumber untuk memajukan ekonomi negeri dan setempat," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Pertandingan Memancing Laut Dalam Miri di sini, hari ini.

Pertandingan itu adalah sebahagian daripada pendekatan kerajaan negeri menarik kemasukan lebih ramai kaki pancing dari seluruh dunia datang ke Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin itu berkata, ramai pelancong Singapura juga berkunjung ke Miri selepas penerbangan terus ke Miri itu diperkenalkan kerana ia memudahkan mereka tanpa perlu mengambil penerbangan transit seperti sebelum ini.

Justeru, katanya, beliau berharap agensi pelancongan di utara Sarawak lebih kreatif menawarkan pelbagai pakej menarik supaya kemasukan pelancong ke negeri ini dapat ditingkatkan.

"Jangan terlalu mengharapkan agensi kerajaan untuk membantu mempromosikan destinasi menarik di negeri ini, sebaliknya mereka (agensi pelancongan) perlu berusaha mencari peluang memastikan industri itu berkembang maju," katanya.

Berita Harian X