Isnin, 21 Mei 2018 | 4:17pm
KANAK kanak JKM Nur Muhammad dan Aniq - Foto ihsan JKM

Nur Muhammad, Aniq tunggu waris sambut raya

JOHOR BAHRU: Sambutan Aidilfitri tahun ini pasti bermakna buat dua kanak-kanak mangsa pengabaian jika dapat meraikannya bersama keluarga.

Kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Nur Muhammad, 5, dan Aniq, 4, masing-masing menjadi mangsa pengabaian sejak 2015 dan April lalu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Normawarni Mahat berkata, sehingga kini tiada waris kanak-kanak itu tampil melawat atau menuntut mereka.

Beliau berkata, mengikut maklumat diperoleh, ibu bapa Nur Muhammad kini menjalani hukuman penjara di Kluang berikutan kesalahan penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, katanya mereka gagal mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pasangan banduan berkenaan termasuk tempoh hukuman penjara.

"Selain ibu bapa, Nur Muhammad juga tidak menerima kunjungan daripada waris lain.

"Selama tiga tahun, mulai 11 Februari 2015 hingga 10 Februari lalu, Nur Muhammad ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Kuala Kangsar, Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti, Kepala Batas, Pulau Pinang dan kemudiannya di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor," katanya.

Normawarni turut memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan ibu bapa atau waris Aniq.

Beliau berkata, Aniq diselamatkan dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor Bahru selepas ditemui merayau seorang diri di sekitar kawasan Medan Selera, Sri Stulang, di sini, pada 20 April lalu, tanpa pengawasan orang dewasa.

Beliau berkata, sepanjang Aniq dalam jagaan di institusi JKM, tiada sebarang tuntutan diterima daripada warisnya.

Menurutnya, Aniq dirujuk oleh lbu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan susulan ditemui seorang diri tanpa pengawasan selain boleh berkomunikasi dan mendakwa ibu bapanya ditahan polis.

"Aniq tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditemui dan hal ini menyukarkan JKM untuk meneruskan pengurusan bagi kes kanak-kanak.

"Aniq ditempatkan di institusi perlindungan JKM selaras peruntukan Seksyen 19 Akta Kanak-Kanak 2001 untuk sementara waktu," katanya.

Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan waris kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi Pelindung Kanak-Kanak JKM Johor Bahru, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606.

Berita Harian X