Khamis, 24 Mei 2018 | 4:09pm
MOTOSIKAL dan kereta yang diletakkan dibahu jalan turut ditunda. - Foto Omar Ahmad
MOTOSIKAL dan kereta yang diletakkan dibahu jalan turut ditunda. - Foto Omar Ahmad

1,925 kenderaan ditunda kerana halang lalu lintas

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menunda 1,652 kereta dan 273 motosikal sejak awal Januari tahun ini hingga semalam atas kesalahan menghalang lalu lintas.

Datuk Bandar, Amran A Rahman, berkata kesemua kenderaan itu ditunda dalam operasi penguatkuasaan MBJB halangan lalu lintas dan tempat awam di sekitar bandar raya ini.

Katanya, pemilik kenderaan terbabit melakukan kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran (MBJB) 1981 Pindaan 2014 - 6 (i)(g) yang boleh dikompaun RM250, caj tunda RM80 dan caj simpanan RM5 sehari yang bertambah setiap hari.

"Kawasan yang sering dalam pemantauan ialah sekitar pusat bandar Johor Bahru, pusat beli-belah KSL, Hospital KPJ Larkin, Stulang Laut, Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ), Jalan Abdullah Tahir dan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Pada 2017, sebanyak 3,878 kenderaan dan 389 motosikal ditunda," katanya di sini, hari ini.

Amran berkata, kenderaan itu ditunda selepas ia didapati diletakkan di bahu jalan yang boleh menyebabkan kesesakan dan halangan.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab pemilik kenderaan itu juga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X