Sabtu, 26 Mei 2018 | 4:25pm

Raja Muda Selangor sampai sumbangan YIDE

KLANG: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah hari ini berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM84,200 kepada golongan kurang berkemampuan di Masjid Nurul Amin, Kampung Delek Klang.

Sumbangan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) yang disampaikan baginda membabitkan wang tunai RM100 kepada setiap 742 anak yatim di Klang bagi membantu meringankan beban menyambut Aidilfitri bulan depan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah, berkata, yayasan itu memperuntukkan RM849,200 tahun ini untuk diagih-agihkan kepada 8,492 anak yatim yang berdaftar dengan YIDE.

Katanya, sumbangan RM23,200 pula untuk disalurkan kepada dua rumah kebajikan anak yatim di bawah seliaannya.

"Klang adalah daerah kedua yang menjadi lokasi penyampaian sumbangan untuk anak yatim daripada YIDE sempena Aidilfitri tahun ini.

"Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan bantuan untuk anak-anak kurang berkemampuan di Kuala Selangor minggu lalu dan sumbangan akan disalurkan kepada anak yatim di Hulu Langat dan Hulu Selangor minggu depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

YIDE dimiliki sepenuhnya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dipertanggungjawabkan dengan rumah kebajikan anak yatim di negeri itu, manakala Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah penaung Diraja sejak ia ditubuhkan pada 2011.

Tengku Amir Shah turut menerima wang sumbangan RM10,000 dari Northport (Malaysia) Bhd, bagi pihak YIDE untuk disalurkan kepada anak yatim di Klang.

Selain menyalurkan bantuan kepada anak yatim di Selangor, YIDE turut menyediakan bantuan segera kepada mangsa bencana dengan mengedarkan keperluan asas harian dan wang.

Yayasan itu turut menawarkan perkhidmatan dialisis kepada pesakit buah pinggang di Selangor melalui pusat kelolaan MAIS di Bukit Jelutong, Sungai Besar, Kuala Selangor, Taman Melawati, Kapar dan Shah Alam.

Turut hadir pada program hari ini adalah EXCO Hal Ehwal Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr Shaharuddin Badaruddin; Pengerusi MAIS, Datuk Setia Mohammed Khusrin Munawi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Hamid.

Ends.

RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada golongan kurang berkemampuan di Masjid Nurul Amin, Kampung Delek Klang. - Foto Roslin Mat Tahir
Berita Harian X