Sabtu, 26 Mei 2018 | 8:52pm

Maahad Tahfiz Al Quran Al Badr mohon sumbangan

LABUAN: Maahad Tahfiz Al Quran Al Badr di sini memerlukan kira-kira RM300,000 sumbangan orang ramai bagi melengkapkan keperluan bangunan baharunya di Kampung Lubok Temiang yang dijangka siap hujung tahun ini.

Ketua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa Malaysia Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican, berkata kos keseluruhan pembinaan pusat tahfiz itu berjumlah RM700,000 dan pihak pengurusan masih berusaha untuk mendapatkan RM300,000 lagi, bagi melengkapkan pusat itu untuk keperluan lain.

"Melalui perbincangan bersama Pengerusinya, Ustaz Ahmad Shahrizal, kos pembangunan pusat ini dijangka meningkat kepada RM1 juta, oleh yang demikian kami berharap ada pihak yang prihatin membantu menghulurkan sumbangan supaya Maahad Tahfiz ini tidak bermasalah apabila siap nanti.

"Sumbangan itu diperlukan bagi menyediakan kemudahan kepada 100 pelajarnya seperti pembelian kerusi, meja, tilam, keperluan dapur, alat tulis dan kenderaan berikutan jangkaan pertambahan pelajar pada masa akan datang," katanya ketika melawat tapak projek itu hari ini.

Beliau berkata, proses pemindahan milik tanah di tapak baharu telah diselesaikan oleh pihak berkuasa tempatan.

Katanya pihak pengurusan pusat tahfiz berkenaan menerima bantuan dana berjumlah RM400,000 bagi menyiapkan bangunan baharu itu di atas tanah seluas setengah ekar di kampung berkenaan.

"Apabila siap kelak ia akan mempunyai dua blok iaitu satu blok untuk asrama lelaki dan satu blok lagi menempatkan bangunan pentadbiran, kelas pengajian dan dewan makan. Bersebelahan pusat tahfiz itu pula akan dibangunkan kediaman guru-guru bagi menjaga kebajikan pelajar," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X