Ahad, 27 Mei 2018 | 3:31pm

'Mujur pokok tak hempap rumah'

PORT DICKSON: "Rumah saya bergegar, petir berdentum dan ribut kuat sebelum dua pokok kelapa dan mangga tumbang tak jauh dari sini."

Jamaliah Hamzah, 58, tergamam apabila atap rumahnya diterbangkan ribut dalam hujan lebat di Kampung Permatang Pasir, Linggi di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, beliau dan suami yang berada dalam rumah tidak dapat berbuat apa-apa kerana ribut terlalu kuat.

"Atap zink diterbangkan angin dalam hujan lebat. Air mencurah masuk ke dalam rumah. Mujurlah pokok kelapa dan mangga yang tumbang tidak menghempap rumah.

"Ini kejadian pertama bumbung rumah saya diterbangkan ribut. Hujan mulai reda selepas waktu berbuka puasa dan pasukan Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang turut membantu memotong dahan pokok," katanya ketika ditemui, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Mohd Kamal Mohd Timar, berkata sebuah masjid dan enam rumah terjejas dalam kejadian ribut petang semalam.

Beliau bersama tujuh anggota bergegas ke beberapa lokasi kejadian pokok tumbang di kampung itu bagi membantu memotong pokok yang menimpa bumbung penduduk.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, turut melawat beberapa lokasi kejadian dan menyampaikan bantuan segera kepada mangsa.

"Saya telah mengarahkan Pejabat Daerah dan agensi berkaitan membuat penilaian kerosakan secepat mungkin sebelum tindakan susulan untuk membaiki rumah dan masjid yang rosak diambil," katanya.

Terdahulu Aminuddin melawat tanah runtuh di Taman Anggerik, Rantau.

Hadir sama, Pegawai Daerah Port Dickson, Khairy Masmor dan beberapa pegawai pelbagai agensi.

PENDUDUK, Jamaliah Hamzah, 58, melihat keadaan rumahnya yang terjejas selepas ditimpa pokok kelapa ketika hujan ribut di Kampung Permatang Pasir, Linggi, Port Dickson. - Foto Adzlan Sidek
PENDUDUK, Jamaliah Hamzah, 58, melihat keadaan rumahnya yang terjejas selepas ditimpa pokok kelapa ketika hujan ribut di Kampung Permatang Pasir, Linggi, Port Dickson. - Foto Adzlan Sidek

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X