Jumaat, 1 Jun 2018 | 3:29pm
PENGARAH Maritim Malaysia Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar. - Foto BERNAMA

Maritim Malaysia tambah kekuatan kawal perairan negara musim perayaan

KUALA TERENGGANU: Seramai 150 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di tiga negeri Pantai Timur, akan bertugas menjaga perairan negara pada 1 Syawal ini.

Malah, sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri ini, pasukan berkenaan akan menambah aset kapal dan bot di perairan Pantai Timur.

Pengarah Maritim Malaysia Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar, berkata langkah itu bagi menangani kemungkinan peningkatan pencerobohan nelayan asing mengaut hasil laut negara.

"Mereka (nelayan asing) berkemungkinan fikir kita berehat pada musim perayaan lalu menceroboh perairan negara ketika itu. Bagaimanapun, kita bukan sahaja tetap bertugas, malah menambah kekuatan dan jentera.

"Bagi Pantai Timur, kita ada enam kapal di laut, iaitu dua di setiap negeri, selain akan ditambah tiga lagi.

"Kita akan melipatgandakan operasi mengawal perairan negara pada musim perayaan ini," katanya kepada pemberita di Pejabat Daerah Maritim 9 (DM9), di sini, semalam.

Selain memantau kegiatan pencerobohan nelayan asing, beliau berkata, Maritim Malaysia akan melaksanakan Ops Pagar bagi membendung penyeludupan mercun menerusi jalan laut ke dalam negara ini.

"Selain bagi memantau pencerobohan nelayan asing, penambahan aset terbabit juga untuk Ops Pagar," katanya.

Berita Harian X