Sabtu, 2 Jun 2018 | 8:58pm
MENTERI Besar Johor, Datuk Osman Sapian (empat dari kiri) bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub (empat dari kanan) menyampaikan replika cek yang akan diserahkan kepada golongan asnaf kawasan Kempas yang berdaftar di bawah Yayasan My Kasih berbual, ketika majlis menyampaikan sumbangan kepada pesara JMF, ibu tunggal dan golongan asnaf di Masjid As- Solihin, Tampoi. - Foto Ibrahim Isa

Pilih ketua kampung yang benar-benar layak - MB Johor

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menafikan dakwaan pembangkang mereka bertindak kejam memecat ketua kampung, baru-baru ini, sebaliknya tindakan itu bertujuan memilih calon yang benar-benar layak.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata selain itu elaun mereka sebanyak RM1,000 masih dibayar dan hanya akan dihentikan apabila jawatan itu diisi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas berkata, mana-mana pihak yang beranggapan mereka masih layak memegang jawatan itu boleh memohon semula.

"Kita tengok kalau benda baik, orang baik.. buat apa kita bazirkan. Dia boleh mohon dan kita boleh ambil. Kalau dia kata dia tak layak, maknanya dia tahu diri dia sendiri.

"Tindakan menamatkan perkhidmatan bukan bersifat kejam atau dendam, sebaliknya mahu memastikan hanya mereka yang layak memegang jawatan itu," katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan Hari Raya di Masjid As-Solihin, Taman Perumahan Rakyat SEDC, Kempas, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 200 tong berisi makanan disampaikan kepada wakil penduduk, manakala 43 murid asnaf di sekitar Kempas diberikan duit hari raya.

Osman berkata, semua 1,700 bekas ketua kampung masih menerima elaun RM1,000 sebulan sehingga ketua kampung baru dilantik.

Pada 30 Mei lalu, UMNO Johor mengecam tindakan kerajaan negeri menamatkan perkhidmatan ketua kampung dan ketua masyarakat di negeri itu.

Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dipetik sebagai berkata, arahan penamatan perkhidmatan berkuat kuasa 31 Mei itu dilihat terlalu tergesa-gesa dan seolah-olah bermotif dendam serta tidak mempunyai asas atau justifikasi jelas.

Beliau berkata, arahan dikeluarkan menerusi surat Menteri Besar Johor bertarikh 28 Mei lalu, amat memeranjatkan semua pihak kerana bukan saja diberi tempoh dua hari, malah dibuat tergesa-gesa dan bermotif dendam.

Berita Harian X