Ahad, 3 Jun 2018 | 9:47pm
PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor, Prof Dr Shaharuddin Badarudin bersalaman bersama pelajar tahfiz ketika menghadiri Majlis Ijtimak Huffaz Selangor ke 12 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz , Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
SEBAHAGIAN pelajar tahfiz yang hadir ke Majlis Ijtimak Huffaz Selangor ke 12 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz , Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Penguasaan hafazan kitab suci diperkasa

SHAH ALAM: Kira-kira 3,000 pelajar tahfiz menyertai Ijtimak Huffaz Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang berakhir hari ini.

Program tahunan anjuran Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Negeri Selangor (PITAS) memasuki penganjuran ke-12 dan berlangsung dua hari bermula semalam.

Pengerusi PITAS, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa, berkata ijtimak adalah antara agenda tahunan persatuan berkenaan sebagai penghargaan kepada pendukung dan penghafaz al-Quran di negeri itu.

"Kami ingin mengasah bakat penguasaan hafazan kitab suci dalam kalangan pelajar institusi tahfiz persendirian.

"Penganjuran program ini bukan sekadar untuk meraikan pelajar bertadarus al-Quran secara hafazan tetapi juga menyampaikan mesej lebih besar.

"Kita tidak mahu pelajar membaca dan menghafaz saja, sebaliknya mahu mereka bertadabbur dan berinteraksi dengan al-Quran selain memahami isi kandungan ayat suci," katanya pada majlis penutup Ijtimak Huffaz ke-12 di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi, Dr Shaharuddin Badaruddin.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, kerajaan negeri akan berusaha meletakkan pendidikan tahfiz di tempat selayaknya dan tidak dipandang rendah.

"Pelajar tahfiz adalah ikon masyarakat Islam dan kita tidak mahu mereka dipandang rendah serta dianggap mempelajari al-Quran kerana lemah dalam bidang akademik.

"Belajar dan memahami Al-Quran juga sama pentingnya dengan pendidikan akademik," katanya.

Berita Harian X