Isnin, 4 Jun 2018 | 2:50pm
Nurul Hasrina Adnan bersama ibunya, Zakiah Waly Mohamad ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Mahkota, Kuantan, hari ini. - Foto Mohd Rafi Mamat
Nurul Hasrina Adnan bersama ibunya, Zakiah Waly Mohamad ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Mahkota, Kuantan, hari ini. - Foto Mohd Rafi Mamat

Remaja jalani 10 pembedahan potong kaki

KUANTAN: Akibat digilis lori tanah tiga tahun lalu, seorang remaja perempuan terpaksa menanggung derita kaki kanannya dipotong hingga ke paras peha.

Azabnya belum berakhir hingga hari ini apabila kerap mengalami sakit di peha kesan daripada pembedahan itu dan terbaru, muka kanannya pula bengkak disebabkan serpihan gigi geraham dalam gusi.

Difahamkan gigi Nurul Hasrina Adnan, 17, patah ketika kemalangan pada 20 September 2016 itu dan serpihannya tertinggal dalam gusi tanpa disedari.

"Sebelum ini doktor yang merawat tidak mengesan gigi ini dan selepas tiga tahun insiden itu barulah saya merasa sakit hingga muka bengkak teruk di sebelah kanan.

"Kerana tak tahan sakit, saya mendapatkan rawatan di Poliklinik Beserah, di sini dan x-ray yang dibuat mendapati ada sebahagian gigi geraham tertinggal dalam gusi.

"Doktor beri ubat untuk mengurangkan sakit dan bengkak, manakala keputusan dibuat selepas pemeriksaan esok (hari ini)," katanya ditemui di rumahnya di Taman Seri Mahkota sini, hari ini.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota itu berkata, dalam tempoh tiga tahun ini sudah 10 pembedahan di bahagian peha dilakukan dan dia perlu bersedia untuk pembedahan berikutnya dengan pakar Hospital Rehabilitasi Cheras, Selangor.

Nurul Hasrina berkata, selain dua pembedahan memotong tulang peha kanan, dia perlu dibedah untuk menipiskan kesan parut bagi membolehkan kaki palsu dipasang.

Disebabkan proses pemulihan yang mengambil masa, dia tidak ke sekolah selama tiga tahun dan membuat permohonan menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke tahun depan.

"Sekurang-kurangnya rawatan lengkap di Hospital Rehabilitasi Cheras memberi lebih keyakinan kepada saya untuk meneruskan kehidupan dengan status baru sebagai orang kelainan upaya (OKU).

"Saya perlu mengikuti semua aktiviti dan rawatan ditetapkan doktor, selain pemeriksaan dan rawatan kaunseling untuk kembalikan semangat yang hilang," katanya yang kini bergantung kepada tongkat untuk bergerak.

Akuinya, tidak mudah untuk menerima hakikat hilang anggota badan dan perlu lebih cekal dan tabah.

Dalam kemalangan itu, anak bongsu daripada enam beradik itu yang membonceng motosikal Honda EX5 ditunggang rakannya terbabit kemalangan dengan sebuah lori tanah di Taman Seri Mahkota, di sini.

Kemalangan itu menyebabkan kaki kanannya digilis kenderaan berat itu dan mengalami jangkitan kuman, luka serius dan tempurung lutut pecah.

Ia terpaksa dipotong demi menyelamatkan nyawanya.

Berita Harian X