Selasa, 5 Jun 2018 | 12:35pm
PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kanan) menyerahkan watikah pelantikan ADUN Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu pada Majlis Pengurniaan Surat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada di Istana Abdul Aziz, Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

2 ADUN angkat sumpah EXCO

KUANTAN: Dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) Pahang di Istana Abdulaziz, di sini, pagi tadi.

Mereka ialah ADUN Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan ADUN Batu Talam, Datuk Abd Aziz Mat Kiram.

Upacara Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah itu diadakan di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dengan pelantikan itu, lengkap sudah barisan EXCO kerajaan negeri, selepas lapan daripadanya, termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengangkat sumpah pada 15 Mei lalu.

Bagaimanapun, portfolio yang bakal disandang kedua EXCO yang baharu mengangkat sumpah itu belum diputuskan.

Sebelum ini, Wan Rosdy yang kini memegang empat portfolio berkata, beliau akan melepaskan dua daripadanya sebaik EXCO baharu dilantik.

MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan tahniah kepada ADUN Batu Talam, Datuk Abd Aziz Mat Kiram (kanan) dan ADUN Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu pada Majlis Pengurniaan Surat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Abdul Aziz, Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Berita Harian X